Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri, Encik Narendra Modi, setakat ini mendahului dalam kiraan awal undian pada 4 Jun, dalam Pilihan Raya Umum India selama 44 hari.
Menurut data Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan, hasil kiraan awal menunjukkan BJP mendahului dengan 244 kerusi, kira-kira 39 peratus undi popular.
Pakatan pembangkang, termasuk Parti Kongres, memperolehi hampir 200 kerusi, lapor The Straits Times.
Encik Modi mendahului di bandar Varanasi, kawasan yang dipegangnya sejak 2014, dengan lebih 60,000 undi.
Bagaimanapun, tidak seperti pada 2019, BJP kini bersaing sengit dengan pakatan pembangkang di beberapa kawasan.
Ini menunjukkan kesan antipenyandang kerana inflasi yang meningkat merupakan kebimbangan besar pengundi dalam pilihan raya kali ini.
Di Uttar Pradesh, BJP mendahului hanya 34 kerusi. Ini adalah negeri di mana parti itu telah memenangi 72 daripada 80 kerusi pada 2019.
Sebaliknya, parti serantau Samajwadi, yang merupakan sebahagian daripada pembangkang Perikatan Inklusif Pembangunan Nasional India, mendahului keputusan awal.
Perkembangan ini berlaku walaupun terdapat kontroversi perasmian Kuil Ram di Ayodhya, dipercayai tempat kelahiran dewa Hindu Ram.
Pengiraan undi dalam Pilihan Raya Umum tujuh fasa yang besar itu bermula pada 8 pagi waktu tempatan (10.30 pagi waktu Singapura).
Lebih 642 juta orang – jumlah terbesar di dunia – mengundi dalam tujuh pusingan pengundian, yang diadakan antara 19 April dengan 1 Jun, untuk 543 kawasan Parlimen merentasi 28 negeri dan lapan wilayah kesatuan.
Ini adalah 66.5 peratus daripada jumlah pemilih berdaftar.
Keputusan tersebut bukan sahaja akan menentukan pemerintah baru dan perdana menteri bagi negara yang mempunyai paling ramai penduduk di dunia, dengan 1.4 bilion orang, bahkan tahap ekonomi dan politik India di dalam dan luar negara.
India mengikuti sistem majoriti mudah atau first-past-the-post (FPTP) yang menyaksikan calon yang memperoleh jumlah undian terbanyak diisytiharkan sebagai pemenang.
Perikatan yang memperoleh majoriti mudah, lebih separuh daripada 543 kawasan pilihan raya – iaitu, sekurang-kurangnya 272 – boleh membuat tuntutan untuk membentuk pemerintah untuk lima tahun akan datang.
Perdana menteri kemudiannya dipilih oleh parti atau gabungan yang menang.
Calon perdana menteri Pakatan Demokratik Kebangsaan (NDA) yang dipimpin BJP tidak diragukan lagi ialah Encik Modi, yang populariti mengagumkannya bergantung pada keseluruhan kempen.
Blok yang diketuai pembangkang tidak mengumumkan pilihan mereka untuk jawatan perdana menteri.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg