Perintah Kawalan Pergerakan perlu imbangi ekonomi dan kesihatan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perintah Kawalan Pergerakan perlu imbangi ekonomi dan kesihatan

Jan 26, 2021 | 5:30 AM

Perintah Kawalan Pergerakan perlu imbangi ekonomi dan kesihatan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
TANGANI PENULARAN: Kakitangan perubatan mempersiapkan keperluan bagi menjalankan ujian koronavirus di Shah Alam, Selangor pada 18 Januari lalu. - Foto EPA-EFE
TANGANI PENULARAN: Kakitangan perubatan mempersiapkan keperluan bagi menjalankan ujian koronavirus di Shah Alam, Selangor pada 18 Januari lalu. - Foto EPA-EFE -

KUALA LUMPUR: Keputusan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua yang memberi kelonggaran tertentu, terutamanya untuk sektor ekonomi, adalah sukar tetapi perlu demi mengimbangi aspek kesihatan rakyat dan ekonomi negara.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKP kali ini memberi tumpuan kepada kepentingan ekonomi tanpa mengira sama ada ia melibatkan syarikat gergasi mahupun peniaga kecil-kecilan, dan pada masa sama perlu menumpukan kesihatan rakyat, lapor Berita Harian Malaysia semalam.

"Kita tidak mahu rakyat mati akibat Covid-19, dan kita juga tidak mahu mereka mati kerana tidak makan," katanya dalam satu temu bual eksklusif dengan agensi berita Bernama, baru-baru ini.

Beliau berkata, sememangnya ada pihak mempertikaikan pelaksanaan PKP kali kedua yang disifatkan mereka sebagai lebih longgar, tetapi dari konteks lebih luas, Malaysia boleh muflis kalau PKP terus dilaksanakan bertahun-tahun.

"Ketika PKP dulu, negara rugi RM2.4 bilion ($0.79 bilion) setiap hari. Kerajaan juga perlu memfokus rakyat yang bergantung pada pendapatan harian bagi menampung hidup.

"Oleh itu pada PKP kali ini, kita membenarkan sebahagian besar sektor ekonomi untuk beroperasi. Kita fikir kebajikan rakyat dan keselamatan mereka juga sama penting," katanya.

Datuk Seri Ismail Sabri menerangkan, kerajaan tidak boleh menghulur pelbagai bantuan selama-lamanya kepada rakyat kerana kesan jangka panjang yang perlu ditangani.

"Bantuan one-off (sekali bayar) diberikan hanya RM3,000 ($982.66) bagi perusahaan kecil dan sederhana. Dengan membenarkan sesetengah sektor beroperasi, sebagai contoh, peniaga kecil-kecilan yang ada gerai tepi jalan juga boleh berniaga bagi menampung keperluan harian," katanya.

Beliau turut menegaskan, sektor perkilangan dibenarkan untuk dibuka bukan untuk jaga hati 'tauke besar', tetapi disebabkan rantaian ekonomi melibatkan operasi syarikat dan nasib pekerja yang harus diutamakan.

"Netizen kata kita jaga tauke besar, namun ia adalah berkaitan pekerja mereka. Kalau tauke besar rugi akibat kilangnya tidak beroperasi, akhirnya mangsa ialah pekerja yang bergantung pada pendapatan itu," katanya.

Semalam genap setahun Malaysia menghadapi penularan Covid-19 apabila kes pertama membabitkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura, dilaporkan pada 25 Januari 2020.

Ketika gelombang pertama, ia membabitkan majoriti kes import dan bukan rakyat Malaysia, manakala gelombang kedua jangkitan pula membabitkan penularan tempatan, dengan kes pertama Covid-19 dilaporkan pada 4 Februari 2020.

Susulan gelombang kedua, kerajaan Malaysia telah melaksanakan PKP sejak 18 Mac tahun lalu dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Apabila jangkitan menunjukkan penurunan selepas beberapa bulan, kerajaan mula melonggarkan sedikit SOP dengan pengenalan PKP Bersyarat (PKPB) mulai 4 Mei, diikuti lebih banyak kelonggaran melalui PKP Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun.

Ketika gelombang ketiga melanda, kerajaan terpaksa melaksanakan PKPB di kebanyakan negeri mulai Oktober.

Apabila kes semakin meningkat pada tahun ini, kerajaan terpaksa melaksanakan semula PKP bermula dengan enam negeri dan kemudian di seluruh negara, kecuali Sarawak.

"Cara terbaik untuk memutuskan rantaian Covid-19 ialah dengan tiada pergerakan langsung tetapi buat masa ini, ia (pergerakan orang ramai) masih berlaku.

"Sektor penting diberi kebenaran untuk beroperasi atas dasar kepentingan ekonomi. Walaupun PKP ini tidak 'lockdown' sepenuhnya, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah percaya (kes) akan berkurangan tetapi mengambil masa sedikit," katanya.

Dr Noor Hisham sebelum ini dilaporkan berkata, negara memerlukan sekurang-kurang empat minggu untuk mengurangkan jangkitan Covid-19 kepada antara 500 hingga 1,000 kes sehari.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg