Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Pertandingan hangat rebut jawatan ketua Parti Demokratik Liberal, PM Jepun

Taro Kono mendahului sokongan dengan meraih 27 peratus dalam satu tinjauan bagi pemilihan pengganti mantan perdana menteri Yoshihide Suga
Sep 20, 2021 | 05:30 AM



PERALIHAN kepimpinan parti terbesar Jepun, Parti Demokratik Liberal (LDP), semakin rancak dan hangat dengan beberapa calon parti itu telah menamakan diri mereka sebagai pengganti ketua parti.



Ini selepas perdana menteri Jepun, Encik Yoshihide Suga, 72 tahun, juga ketua LDP, dalam satu langkah mengejutkan pada 2 September lalu, mengumumkan akan mengundurkan diri sebagai perdana menteri.



Pengumuman itu mengakhiri tempoh kepimpinannya selama satu tahun setelah menggantikan perdana menteri sebelumnya, Encik Shinzo Abe, pada September tahun lalu.



Tempoh kepimpinan Encik Suga penuh dengan cabaran termasuk yang utama, penularan virus Covid19 dan kelembapan ekonomi yang disebabkan pandemik itu.



Pengumumannya membuka jalan kepada pemilihan ketua LDP pada 29 September ini yang akan dilakukan dalam kalangan anggota akar umbi dan penggubal undang-undang LDP.



Pemenangnya hampir pasti akan menjadi perdana menteri Jepun kerana LDP mempunyai majoriti di Dewan Rendah Parlimen (Diet).



CALON KETUA LDP



Siapa yang menjadi pendahulu calon ketua LDP? Tiga nama menjadi perhatian.



Mereka ialah menteri bertanggungjawab bagi program vaksinasi Jepun, Encik Taro Kono, 58 tahun; mantan ketua dasar Encik Fumio Kishida, 64 tahun; dan mantan Menteri Dalam Negeri, Cik Sanae Takaichi, 60 tahun.



Mereka bertiga telah mengumumkan secara rasmi pencalonan bagi merebut jawatan ketua LDP itu.



Seorang lagi anggota kanan LDP yang popular, mantan setiausaha agung LDP, Encik Shigeru Ishiba, 64 tahun, dilaporkan enggan menyertai pemilihan itu.



HASIL TINJAUAN



Satu tinjauan yang diadakan baru-baru ini menunjukkan Encik Kono mendahului sokongan bagi pemilihan itu.



Beliau meraih sokongan 27 peratus dalam tinjauan yang diadakan akhbar Nikkei dan TV Tokyo yang bertanyakan "siapa orang yang tepat" untuk menerajui parti itu dan menjadi perdana menteri seterusnya.



Encik Ishiba meraih 17 peratus, dan Encik Kishida di tempat ketiga dengan 14 peratus, sementara Cik Takaichi berada di tempat kelima dengan meraih 7 peratus.



Encik Kono, yang juga berperanan sebagai menteri pembaharuan pentadbiran, mengumumkan pencalonannya pada 10 September lalu, yang ketiga berbuat demikian secara rasmi selepas Encik Kishida dan Cik Takaichi.



Laporan terbaru televisyen NHK menyatakan Encik Ishiba menyokong Encik Kono, dengan sokongan itu dilihat mampu meningkatkan lagi peluang Encik Kono dipilih sebagai ketua LDP dan perdana menteri Jepun.



Selepas pemilihan pemimpin LDP pada lewat bulan ini, Jepun berkemungkinan mengadakan pula pilihan raya umum pada November ini, lapor Kyodo, memetik anggota parlimen LDP sebagai sumber.



Sementara itu, dalam satu tinjauan berasingan yang dilakukan akhbar harian Asahi baru-baru ini, 33 peratus mereka yang ditinjau menyokong Encik Kono sebagai calon paling tepat sebagai ketua LDP, diikuti Encik Ishiba yang meraih 16 peratus dan Encik Kishida 14 peratus.



Tinjauan pendapat Asahi itu juga menunjukkan 58 peratus responden menyatakan ketua baru LDP tidak harus mengikuti bulat-bulat dasar Encik Suga dan Encik Abe.



Yang terbaru, mantan menteri wanita pemerkasaan Jepun, Cik Seiko Noda, mengumumkan penyertaan beliau pada saat-saat terakhir sebelum kempen bermula Jumaat lalu.



LATAR BELAKANG



Encik Kono, merupakan lulusan Universiti Georgetown di Washington D.C. dan fasih dalam bahasa Inggeris.



Beliau membangunkan reputasi sebagai seorang yang berkebolehan dan komunikator baik yang sering dilakukannya menerusi sidang media selain mempunyai akaun media sosial aktif.



Beliau mempunyai akaun Twitter dalam kedua-dua bahasa Jepun dan Inggeris - mempunyai 2.4 juta pengikut.



Calon Encik Kishida pula baru-baru ini menyatakan Jepun perlu mengukuhkan kerjasama antara pasukan pengawal pantai dengan pasukan tenteranya dalam menghadapi cabaran semakin meningkat yang ditimbulkan negara jiran China.



Beliau menekankan pentingnya melindungi hak asasi manusia, demokrasi dan kebebasan, sambil menambah bahawa jika dipilih, beliau akan melantik pembantu perdana menteri untuk memantau layanan China ke atas kaum minoriti Uighurnya.



Calon Cik Takaichi pula mendapat sokongan mantan perdana menteri Encik Abe.



Jika menang, beliau akan menjadi perdana menteri wanita Jepun yang pertama.



Beliau akan berlandaskan pencalonannya kepada pembangunan dan pengukuhan dasar untuk menangani ancaman teknologi yang ditimbulkan China.



Ini selain mengukuhkan ekonomi yang terjejas teruk oleh pandemik Covid-19.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >