Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pertempuran hebat di Ukraine selepas Putin isytihar serangan balas

Jun 10, 2023 | 7:50 PM
KEADAAN SELEPAS SERANGAN: Ahli bomba kelihatan bertugas di sebuah kawasan perumahan terbakar selepas ia mengalami serangan peluru berpandu di bandar Zviahel, wilayah Zhytomyr, Ukraine pada 9 Jun 2023.
KEADAAN SELEPAS SERANGAN: Ahli bomba kelihatan bertugas di sebuah kawasan perumahan terbakar selepas ia mengalami serangan peluru berpandu di bandar Zviahel, wilayah Zhytomyr, Ukraine pada 9 Jun 2023. - Foto REUTERS

KYIV: Moscow dan Kyiv kedua-dua melaporkan pertempuran hebat di Ukraine pada Jumaat, dengan beberapa pengguna Internet memerhatikan kenderaan berperisai dari Amerika Syarikat dan Jerman buat julung-julung kalinya sekali gus menandakan serangan balas terhadap Russia sedang dilancarkan.

Menurut agensi berita Reuters, Kyiv yang memilih untuk membisu tanpa sebarang laporan dari barisan depan telah menyebabkan kesukaran menjamin sama ada Ukraine sedang cuba menembusi barisan pertahanan Russia sebagai satu percubaan memaksa keluar pasukan penceroboh itu.

“Kami boleh mengeluarkan satu kepastian bahawa serangan itu telah bermula,” kata Presiden Russia Encik Vladimir Putin di Sochi.

“Pasukan Ukraine tidak berupaya mencapai matlamat mereka dalam sebarang sektor,” katanya.

Presiden Ukraine, Encik Voldymyr Zelensky, pula berkata beliau telah membincangkan taktik dan “pencapaiannya” bersama pemimpin ketenteraan namun tidak menawarkan butiran lanjut.

“Bagi askar kita, bagi mereka yang pada masa ini sedang terlibat dalam pertempuran hebat. Kami akur terhadap semangat anda, dan kami menghargai setiap saat kehidupan anda,” katanya dalam ucapan malam hariannya.

“Ukraine bebas atas semangat anda.”

Pakar ketenteraan Ukraine, Encik Oleksander Musiyenko, ketika diwawancara di Radio NV Ukraine berkata Ukraine sedang mencapai beberapa kemajuan dalam perkara ini, namun menolak laporan dari Russia berkenaan serangan balas besar di wilayah pusat selatan Zaporizhzhia.

“Ini sama sekali tidak benar. Ia bukan fasa utama serangan balas itu. Ia hanya sekadar satu fasa dan bukan satu tindakan besar di mana kami dapat menjangkakan pencapaian besar dan ia terletak ratusan kilometer dari kawasan yang telah dibebaskan,” kata Encik Musiyenko.

Serangan balas itu dijangka melibatkan ribuan askar Ukraine yang dilatih dan dilengkapi peralatan dari negara-negara Barat.

Amerika Syarikat telah mengumumkan tambahan AS$2.1 juta ($2.82 juta) bantuan jaminan pada Jumaat, termasuk pertahanan udara dan peluru.

Russia, yang mempunyai beberapa bulan untuk menyediakan garisan pertahanannya berkata ia telah mencegah sebarang serangan yang berlaku sejak permulaan minggu ini.

Kyiv berkata tindakan utamanya belum lagi dilancarkan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg