KYIV: Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, berkata tentera Ukraine sedang terlibat dalam pertempuran jalanan sengit dengan askar Russia di bandar perindustrian Sievierodonetsk - pertempuran penting dalam percubaan Kremlin menguasai wilayah timur Donbas di Ukraine.

"Wira kami tidak putus asa di Sievierodonetsk. Di bandar, pertempuran jalanan sengit sedang berterusan," katanya dalam satu ucapan video kelmarin.

"Dan wilayah Donbas Ukraine terus berdiri teguh," tambahnya, merujuk kepada wilayah tempat terletaknya Sievierodonetsk.

Tidak jelas pihak mana mempunyai kelebihan, dengan "keadaan berubah setiap jam", kata Encik Oleksandr Stryuk, ketua pentadbiran di Sievierodonetsk, di televisyen.

Beliau memberi amaran bahawa bilangan tenteranya jauh lebih rendah daripada askar Russia yang "lebih kuat", namun "kami dapat bertahan" tetapi "mereka lebih ramai dan mereka lebih kuat".

Bandar itu menjadi sasaran utama serangan Russia di kawasan Donbas - terdiri daripada wilayah Luhansk dan Donetsk - sedang pencerobohan Moscow berlanjutan dalam perang yang menyaksikan banyak bandar Ukraine dimusnahkan oleh serangan meriam.

Kementerian pertahanan Ukraine menyatakan Russia juga mengerahkan lebih ramai askar dan peralatan dalam usahanya menawan bandar terbesar yang masih dikuasai Ukraine di Luhansk.

Gabenor Luhansk, Encik Serhiy Gaidai, berkata keadaan bertambah buruk selepas tentera Ukraine berjaya menolak askar Russia hujung minggu lalu sedang mereka kelihatan hampir mencapai kemenangan.

Dalam kemas kini setiap malam, tentera Ukraine berkata dua orang awam terbunuh dalam bedilan meriam Russia di Donetsk dan Luhansk kelmarin, dengan tentera Russia membedil ke arah lebih 20 masyarakat. Tentera Russia juga bergerak ke arah Sloviansk, kira-kira 85 kilometer ke barat Sievierodonetsk.

"Barisan hadapan kini sentiasa diserang," kata gabenor wilayah Donetsk, Encik Pavlo Kyrylenko, kepada televisyen Ukraine.

"Musuh juga membedil berhampiran Lyman bagi memusnahkan kedudukan pertahanan kami dan mara ke Sloviansk dan Kramatorsk. Terdapat juga serangan ke atas Svyatohirsk dengan tujuan sama."

Encik Kyrylenko berkata usaha sedang dijalankan untuk memindahkan orang awam dari beberapa bandar, termasuk Sloviansk, yang masih ada kira-kira 24,000 penduduk.

Dalam satu langkah yang diselaras bersama Amerika Syarikat, Britain berkata ia akan membekalkan Ukraine sistem roket berbilang pelancaran yang boleh menyerang sasaran sejauh 80km, memberi negara itu keupayaan lebih baik dan lebih tepat untuk menembak bateri meriam Russia, komponen utama strategi pertempuran Moscow.

Encik Zelensky berkata Kyiv juga secara beransur-ansur menerima "sistem antikapal khusus", dan ini akan menjadi cara terbaik menamatkan sekatan Russia terhadap pelabuhan Ukraine di Laut Hitam yang menghalang eksport bijirinnya.

Negara Barat mengenakan sekatan keras yang tidak pernah berlaku sebelumnya ke atas Russia atas pencerobohannya. - Reuters.

"Wira kami tidak putus asa di Sievierodonetsk. Di bandar, pertempuran jalanan sengit sedang berterusan. Dan wilayah Donbas Ukraine terus berdiri teguh."

- Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky