Pertunjukan Udara Singapura akan kembali lagi dari 3 hingga 8 Februari, dengan penyertaan lebih 1,000 syarikat dari lebih 50 negara.
Sempena acara ini, Sidang Kemuncak Angkasa Lepas juga akan diadakan buat kali pertama.
Edisi ke-10 pameran aeroangkasa dan pertahanan dwitahunan itu akan diadakan di Pusat Pameran Changi. Tiket untuk acara pada 7 dan 8 Februari akan mula dijual kepada orang ramai mulai 10 Disember menerusi perkhidmatan tiket Sistic.
Tiket berharga $39 untuk orang dewasa dan $19 untuk kanak-kanak berumur tiga hingga 12 tahun akan dijual bagi acara Pertunjukan Hujung Minggu@Airshow.
Pakej tiket kumpulan pula berharga $250, termasuk empat tiket dan label tempat letak kereta.
Menurut The Straits Times (ST), penganjur Experia Events berkata butiran lanjut tentang apa yang boleh orang ramai jangkakan sepanjang dua hari itu akan diumumkan pada 2026.
Lebih 60,000 pengunjung awam hadir pada 2024, iaitu kali terakhir pertunjukan udara sebegini diadakan.
Empat hari pertama pertunjukan udara, yang digelar sebagai acara penerbangan paling berpengaruh di Asia, biasanya dikhususkan untuk pelawat perdagangan, dengan dua hari terakhir dibuka kepada orang ramai.
Antara mereka yang hadir ialah delegasi pemerintah dan tentera peringkat tinggi dari seluruh dunia, serta eksekutif tertinggi daripada pelbagai firma aeroangkasa dan pertahanan.
Lebih 1,000 syarikat dijangka mengambil bahagian dalam edisi 2026, menyamai skala pertunjukan 2024 – termasuk pengeluar pesawat Airbus dan Boeing, serta kontraktor pertahanan Amerika Syarikat, Lockheed Martin dan syarikat aeroangkasa Perancis, Thales.
Experia Events berkata peserta kali pertama termasuk syarikat teknologi pertahanan generasi akan datang seperti Helsing, Quantum dan Shield AI.
Pada 2022, Pertunjukan Udara Singapura menarik penyertaan hampir 600 syarikat daripada 39 negara.
Pada 2020, terdapat 930 syarikat yang mengambil bahagian dari 45 negara.
Ini berlaku selepas 70 syarikat menarik diri dalam tempoh yang singkat atas kebimbangan penularan wabak Covid-19.
Pertunjukan Udara Singapura kali ini akan memperkenalkan acara baru – Sidang Kemuncak Angkasa Lepas 2026, yang diadakan dari 2 hingga 3 Februari di Pusat Ekspo dan Konvensyen Sands di Marina Bay Sands.
Ini menandakan pengembangan skop pameran daripada udara kepada bidang angkasa lepas yang baru muncul, kata Experia Events, sekali gus meletakkan Singapura sebagai hab dialog dan kerjasama angkasa lepas di Asia Pasifik.
Sidang bertemakan ‘Sempadan Baru: Membentuk Masa Depan Angkasa Lepas yang Bertanggungjawab dan Terangkum’, akan menghimpunkan penggubal dasar sejagat, agensi angkasa lepas, pelabur dan pencipta untuk membincangkan topik seperti prasarana, kemampanan, pelaburan dan ekonomi angkasa lepas.
Syarikat runding cara pengurusan, McKinsey, membuat unjuran sektor angkasa lepas bakal mencecah nilai AS$1.8 trilion ($2.3 trilion) menjelang 2035.
Bagi pertunjukan udara 2026, kemampanan dijangka menjadi tema utama, dengan tumpuan diberi kepada bahan api penerbangan mampan dan inisiatif sifar bersih.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg