Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Perubahan iklim: Amerika komited beri keutamaan tangani isu

Setiausaha Negara AS Blinken beri amaran kepada negara-negara yang halang usaha dunia perangi perubahan iklim
Apr 21, 2021 | 05:30 AM



WASHINGTON: Amerika Syarikat akan mencabar negara-negara yang menghalang usaha dunia untuk memerangi perubahan iklim, kata Setiausaha Negara Antony Blinken kelmarin, dalam satu ucapan yang menjanjikan kepimpinan negara itu berkaitan iklim.



Washington akan menegur negara yang terlalu bergantung pada arang batu atau melabur dalam kilang baru arang batu, atau membenarkan penebangan hutan secara besar-besaran, kata Encik Blinken, yang berjanji bahawa Amerika - pengeluar gas rumah hijau kedua terbesar di dunia di belakang hanya China - akan memimpin melalui teladan dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan beralih kepada tenaga yang boleh diperbaharui.



Menyampaikan ucapan pertamanya mengenai perubahan iklim di Yayasan Chesapeake Bay di Maryland, Encik Blinken mengatakan sementara tujuan utama dasar iklim Amerika adalah "mencegah bencana", ia juga ingin menjadi faktor dalam mendorong inovasi, meningkatkan eksport dan mencipta pekerjaan dalam bidang tenaga bersih.



Dalam hal ini, Amerika ketinggalan di belakang China, yang pada masa ini merupakan pengeluar dan pengeksport utama panel solar, turbin angin, bateri dan kenderaan elektrik, katanya.



"Sukar untuk dibayangkan Amerika memenangi persaingan strategik jangka panjang dengan China jika kita tidak dapat memimpin revolusi tenaga boleh diperbaharui," kata Encik Blinken.



"Sekiranya kita terus ketinggalan, Amerika akan melepaskan peluang untuk membentuk dasar iklim masa depan dunia dengan cara yang mencerminkan minat dan nilai kita, dan akan kehilangan banyak pekerjaan buat rakyat Amerika."



Komen beliau dibuat menjelang sidang puncak maya Presiden Joe Biden esok apabila Washington dijangka meminta pemimpin 40 negara untuk menetapkan sasaran lebih bercita-cita tinggi untuk melindungi iklim.



Pentadbiran Biden akan mendedahkan sasaran iklimnya yang diperbaharui minggu ini, yang dijangka pakar merupakan janji mahu mengurangkan pelepasan Amerika sekitar 50 peratus di bawah tahap 2005 menjelang 2030.



Angka itu hampir dua kali ganda daripada janji yang dibuat di bawah pentadbiran Barack Obama pada 2014, dan jauh lebih tinggi berbanding pentadbiran Donald Trump yang menarik balik sebahagian langkah perlindungan alam sekitar.



Encik Blinken memberi amaran bahawa dunia sudah pun ketinggalan pada sasaran yang ditetapkan enam tahun lalu di bawah Perjanjian Iklim Paris, yang menurutnya - dan juga golongan pakar - sememangnya tidak mencukupi.



Kesepakatan dalam kalangan saintis sekarang adalah dunia perlu mengehadkan pemanasan global hingga 1.5 darjah Celsius di atas tahap praindustri untuk mengelakkan malapetaka.



Untuk mencapai matlamat itu, negara-negara mesti mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, yang memerlukan peralihan global daripada bahan bakar fosil kepada sumber tenaga yang boleh diperbaharui.



"Jika Amerika gagal memimpin dunia dalam menangani krisis iklim, kita tidak akan memiliki dunia yang berkeadaan baik," kata Encik Blinken, sambil mengakui bahawa Amerika bertanggungjawab di atas 15 peratus pelepasan global walaupun penduduknya hanya membentuk 4 peratus penduduk dunia.



Ucapan Encik Blinken ini menetapkan hala tuju bagi sidang puncak esok, walaupun komennya juga mungkin diterima dengan berhati-hati oleh pegawai China dan Brazil.



Pemimpin dua negara itu telah diundang untuk hadir, tetapi presiden China Xi Jinping belum mengesahkan kehadirannya.



China menjana lebih separuh tenaga arang batu dunia pada tahun lalu walaupun terdapat kemajuan dalam tenaga bersih, sementara Brazil sedang berjuang mengurangkan pembalakan haram di hutan hujan Amazon. - ST.




SEKILAS PERUBAHAN IKLIM



Perubahan iklim global telah memberi kesan yang nyata pada alam sekitar sekarang.



Glasier telah menyusut, air batu di sungai dan tasik pecah lebih awal, kawasan bagi tanaman dan haiwan telah berubah, dan pokok-pokok berbunga lebih cepat.



Kesan yang telah diramalkan oleh saintis pada masa lalu akibat perubahan iklim global kini berlaku: kehilangan air batu di laut, kenaikan permukaan laut yang lebih cepat dan gelombang panas yang lebih kuat, lebih lama.



Perubahan lain termasuk:



  • Suhu dunia akan terus meningkat;

  • Lebih banyak tempoh kemarau dan gelombang panas;

  • Taufan akan menjadi lebih kuat;

  • Paras air laut terus naik; dan

  • Kawasan Artik kemungkinan besar kurang diliputi air batu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >