LOS ANGELES: Beberapa kawasan di Amerika Syarikat dan Mexico perlu mengawal penggunaan air bagi mengelakkan "bencana dahsyat" pada Sungai Colorado, jika kemarau paling buruk dalam sejarah dijangka melanda wilayah sekitar sungai itu.

Paras hujan yang jauh di bawah purata selama lebih 20 tahun telah menyebabkan paras air sungai itu - nadi barat Amerika - berada pada tahap kritikal.

Perubahan iklim yang disebabkan oleh manusia memburukkan kitaran kemarau semula jadi di kawasan itu, menurut pegawai Washington kelmarin.

Sungai Colorado mengalir dari Pergunungan Rocky melalui Colorado, Utah, Arizona, Nevada, California dan utara Mexico, di mana ia mengalir ke Teluk California.

Sumber airnya terutamanya daripada pek salji di altitud tinggi, yang cair perlahan-lahan sepanjang bulan lebih panas.

Tetapi hujan yang berkurangan dan suhu lebih tinggi yang disebabkan oleh pembakaran bahan api fosil manusia yang tidak terkawal bermakna semakin sedikit salji turun, dan salji yang wujud semakin cepat cair.

Akibatnya, air tidak sebanyak dulu di sungai itu, yang membekalkan air kepada berpuluh juta orang dan tanah ladang yang tidak terkira banyaknya.

Walaupun sudah bertahun-tahun amaran dikeluarkan, wilayah yang bergantung pada sungai itu masih tidak berjaya mengurangkan permintaan air masing-masing.

Kelmarin, pemerintah persekutuan mengumumkan ia akan mengenakan catuan bagi mengurangkan pengunaan air.

"Sebagai langkah mengelakkan keruntuhan Sistem Sungai Colorado dan mencegah ketidakpastian dan konflik pada masa akan datang, penggunaan air di sungai itu harus dikurangkan," kata Penolong Setiausaha Air dan Sains Jabatan Dalam Negeri Amerika, Cik Tanya Trujillo.

Peruntukan air bagi Arizona akan berkurangan 21 peratus pada 2023, manakala bekalan Nevada akan dikurangkan 8 peratus.

Peruntukan air bagi Mexico akan dikurangkan 7 peratus. California, pengguna terbesar air sungai itu dengan penduduk paling ramai di bahagian barat Amerika, bagaimanapun tidak akan terjejas tahun depan.

Bahagian barat Amerika sedang mengalami musim kemarau yang kini memasuki tahun ke-23 dan yang paling buruk dalam lebih 1,000 tahun. - Agensi berita.