Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesawat Azerbaijan terhempas di Kazakhstan, 38 terbunuh 

Dec 26, 2024 | 11:32 AM
Serpihan bangkai pesawat penumpang, Azerbaijan Airlines, di lokasi nahas berhampiran bandar Aktau, Kazakhstan, dengan pesawat ‘Embraer 190’ itu dilaporkan membawa 67 penumpang dari Baku menuju ke Grozny, Selatan Russia.
Serpihan bangkai pesawat penumpang, Azerbaijan Airlines, di lokasi nahas berhampiran bandar Aktau, Kazakhstan, dengan pesawat ‘Embraer 190’ itu dilaporkan membawa 67 penumpang dari Baku menuju ke Grozny, Selatan Russia. - Foto REUTERS

AKTAU (Kazakhstan): Sebuah pesawat penumpang Embraer 190 milik Azerbaijan Airlines terhempas berhampiran bandar Aktau di Kazakhstan, mengorbankan 38 nyawa pada 25 Disember.

Pesawat dengan nombor penerbangan J2-8243 itu membawa 62 penumpang dan lima anak kapal dalam perjalanan dari Baku, Azerbaijan ke Grozny, Russia.

Kejadian itu berlaku selepas pesawat menyimpang jauh dari laluan asalnya, menyeberangi Laut Kaspia sebelum terhempas.

Menurut kenyataan pihak berkuasa penerbangan Russia, pesawat tersebut mungkin mengalami kecemasan akibat perlanggaran dengan burung, sekali gus menyebabkan ia terpaksa mengubah haluan.

Namun, pakar penerbangan, Encik Richard Aboulafia, meragui teori itu dan berkata:

“Perlanggaran dengan burung biasanya menyebabkan pesawat mendarat di lapangan terbang terdekat, bukan terbang jauh menyimpang dari laluan.”

Presiden Azerbaijan, Encik Ilham Aliyev, menyatakan bahawa berdasarkan maklumat awal, pesawat mengubah haluan akibat cuaca buruk, namun punca sebenar nahas masih belum diketahui dan memerlukan siasatan lanjut.

“Ini adalah tragedi besar yang menimbulkan kesedihan mendalam bagi rakyat Azerbaijan,” katanya.

Rakaman video menunjukkan pesawat tersebut menjunam dengan cepat sebelum terbakar, sejurus selepas ia terhempas di pantai, dengan asap hitam tebal kelihatan mengisi ruang udara.

Beberapa penumpang yang cedera kelihatan keluar dari serpihan pesawat yang masih utuh.

Daripada 67 individu di dalam pesawat, 29 mangsa yang terselamat telah dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan, termasuk dua kanak-kanak.

Timbalan Perdana Menteri Kazakhstan, Encik Kanat Bozumbayev, mengesahkan angka korban tersebut dalam pertemuan dengan delegasi Azerbaijan di Aktau.

Kementerian Kecemasan Kazakhstan melaporkan bahawa pasukan bomba telah memadamkan kebakaran di tempat kejadian dan usaha mengumpul mayat sedang dijalankan.

Kotak hitam pesawat telah ditemui dan akan dianalisis untuk menentukan punca nahas.

Azerbaijan Airlines menyatakan bahawa pesawat tersebut terpaksa melakukan pendaratan cemas kira-kira 3 kilometer dari Aktau.

Syarikat penerbangan itu turut mengumumkan penggantungan sementara penerbangan dari Baku ke Grozny sehingga siasatan selesai.

Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Sementara itu, pemimpin Chechnya yang disokong Kremlin, Encik Ramzan Kadyrov, menyatakan bahawa beberapa mangsa yang dirawat di hospital berada dalam keadaan genting dan memohon doa agar mereka segera pulih.

Syarikat pembuat pesawat, Embraer, dalam satu kenyataan menyampaikan ucap takziah dan menyatakan kesediaan menyokong usaha pihak berkuasa dalam siasatan.

Pihak berkuasa Kazakhstan telah menubuhkan suruhanjaya pemerintah untuk menyiasat kejadian itu dan bekerjasama rapat dengan Azerbaijan dalam proses tersebut.

Keluarga mangsa yang terlibat akan diberikan bantuan yang diperlukan sepanjang tempoh sukar ini. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg