JAKARTA: Pesawat yang membawa ratusan anggota jemaah haji Indonesia pulang dari Arab Saudi terpaksa mengalihkan laluan selepas satu ancaman bom dihantar melalui e-mel kepada pihak berkuasa, menurut badan penerbangan negara itu, pada 17 Jun.
Direktorat Jeneral Penerbangan Awam Indonesia dalam kenyataannya, berkata pihaknya menerima laporan daripada pengendali lapangan terbang Indonesia mengenai ancaman bom yang dihantar oleh individu tidak dikenali melalui e-mel.
Menurut kenyataan itu, e-mel yang diterima pada 7.30 pagi (0030 GMT) mengandungi ancaman untuk meletupkan pesawat Saudia Airlines penerbangan SV 5276 yang dalam perjalanan dari Jeddah, Arab Saudi ke Jakarta, Indonesia.
Selepas 10 pagi, juruterbang memutuskan untuk mengalihkan laluan pesawat dari destinasi asal di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu di Medan, Sumatera.
Kenyataan itu memaklumkan, pesawat berkenaan membawa seramai 442 jemaah haji, terdiri daripada 207 lelaki dan 235 wanita, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Menurut pengendali lapangan terbang Indonesia, InJourney Airports, selepas mengenal pasti ancaman terhadap keselamatan dan keselamatan penerbangan, juruterbang memutuskan untuk mendarat di lapangan terbang terdekat.
Sumber Kementerian Pengangkutan Indonesia memaklumkan kepada AFP bahawa pesawat berkenaan masih berada di Medan dan laman penjejakan penerbangan Flightradar24 turut menunjukkan pesawat itu berada di lokasi berkenaan.
Difahamkan, lapangan terbang terbabit sudah memindahkan semua penumpang, manakala pasukan pemusnah bom bertindak melakukan pemeriksaan ke atas pesawat bagi mengesan sebarang bahan letupan. - AFP


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg