BEIJING: Sebuah pesawat penumpang China Eastern Airlines dengan 132 orang di dalamnya terhempas di kawasan pergunungan selatan China semalam sedang ia dalam penerbangan dari bandar Kunming ke Guangzhou.
Pesawat yang terlibat dalam tragedi itu adalah pesawat Boeing 737 dan jumlah mangsa yang terkorban tidak diketahui serta-merta, kata penyiar China, CCTV.
Pasukan penyelamat sedang dalam perjalanan ke tempat kejadian, katanya. Belum dapat dipastikan mengenai punca nahas itu.
Pesawat itu adalah jenis 737-800 yang berusia enam tahun, menurut Flightradar24.
"Boleh disahkan pesawat itu telah terhempas," kata syarikat China Eastern Airlines dalam satu kenyataan yang turut memberi butiran talian hotline bagi saudara-mara mereka yang berada di dalam pesawat itu.
Pesawat itu, dengan 123 penumpang dan sembilan anak kapal, terputus hubungan di bandar Wuzhou, umum Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) dan syarikat penerbangan itu. CAAC menyatakan pasukan kecemasan telah dihantar ke lokasi nahas.
Media memetik seorang pegawai penyelamat sebagai berkata pesawat itu telah hancur sepenuhnya.
Kebakaran yang dicetuskan nahas itu turut memusnahkan kawasan buluh dan pokok di situ, lapor media.
Pesawat itu berlepas dari bandar barat daya Kunming pada 1.11 petang semalam (waktu tempatan), menurut data FlightRadar24 dan dijadualkan mendarat di Guangzhou, di selatan, pada 3:05 petang.
Pesawat itu terbang pada ketinggian 29,100 kaki (8,869 meter), menurut data FlightRadar24.
Hanya kira-kira dua minit dan 15 saat kemudian, data menunjukkan ia telah menurun kepada 9,075 kaki.
Dalam 20 saat kemudian, ketinggian terakhirnya ialah pada 3,225 kaki.
Laman web China Eastern Airlines kemudiannya menjadi warna hitam dan putih, dilakukan oleh syarikat penerbangan sebagai respons kepada nahas pesawat dan sebagai tanda penghormatan kepada mangsa.
Penyedia data penerbangan OAG berkata pada bulan ini bahawa syarikat penerbangan China Eastern Airlines milik negara China adalah yang keenam terbesar di dunia mengikut kapasiti mingguan tempat duduk, dan yang terbesar di negara itu.
China mempunyai pasaran penerbangan domestik yang agak kukuh semasa wabak Covid-19 walaupun sekatan ketat pada penerbangan antarabangsa.
Rekod keselamatan industri penerbangan China adalah antara yang terbaik di dunia sepanjang dekad lalu.
Menurut Rangkaian Keselamatan Penerbangan, kemalangan maut melibatkan pesawat penumpang terakhir di China adalah pada 2010, apabila 44 daripada 96 orang di dalam pesawat terbunuh selepas pesawat Embraer E-190 yang diterbangkan oleh Henan Airlines terhempas ketika menghampiri lapangan terbang Yichun dalam keadaan jarak penglihatan yang rendah. - Reuters