Pesawat Korean Air terbabas di Filipina, penumpang selamat
Pesawat Korean Air terbabas di Filipina, penumpang selamat
MANILA: Sebuah pesawat Korean Air yang membawa 173 orang terbabas dari landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Cebu di Filipina kelmarin.
Menurut kenyataan syarikat penerbangan itu, tiada kecederaan telah dilaporkan dan semua penumpang telah dipindahkan dengan selamat.
Pesawat Airbus SE A330 yang terbang dari Seoul ke Cebu itu telah cuba mendarat dua kali dalam keadaan cuaca buruk sebelum ia terlajak melepasi landasan pada percubaan ketiga pada 11.07 malam waktu tempatan, kata Korean Air semalam.
"Penumpang telah dibawa ke tiga hotel tempatan dan penerbangan alternatif sedang diaturkan.
"Kami sedang mengenal pasti punca kejadian," kata syarikat penerbangan itu mengenai penerbangan KE361.
Video dari tempat kejadian yang disahkan oleh Reuters menunjukkan kerosakan besar pada pesawat itu. Gear pendaratan depan kelihatan telah musnah.
Presiden Korean Air, Encik Keehong Woo, mengeluarkan surat permohonan maaf berhubung penerbangan itu di laman web syarikat penerbangan tersebut, menyatakan bahawa siasatan menyeluruh akan dilakukan.
Pihak berkuasa penerbangan tempatan dan pihak berkuasa Korea Selatan akan menyiasat punca kejadian.
"Kami tetap komited menepati janji kami terhadap operasi selamat dan akan melakukan yang terbaik untuk melaksanakan langkah-langkah untuk mencegah berulangnya kejadian ini," kata Encik Woo.
Jet A330-300 yang terlibat dalam kemalangan itu telah dihantar dalam keadaan baru kepada Korean Air pada 1998, menurut laman web penjejakan penerbangan FlightRadar24, yang mengatakan bahawa penerbangan lain ke Cebu telah melencong ke lapangan terbang lain atau kembali ke tempat asalnya.
Lapangan terbang Cebu berkata di laman Facebooknya bahawa ia telah menutup landasan buat sementara waktu bagi membolehkan pesawat itu dipindahkan.
Ini bermakna semua penerbangan domestik dan antarabangsa dibatalkan buat sementara waktu.
Korean Air tidak mengalami kemalangan penumpang maut sejak 1997, menurut Aviation Safety Network, sebuah laman web yang memantau kemalangan penerbangan.
Syarikat penerbangan itu mempunyai rekod keselamatan yang lemah pada masa itu, dan telah meminta bantuan daripada Boeing dan Delta Air Lines untuk meningkatkan keselamatannya. - Reuters

