KATHMANDU: Pesawat berusia 43 tahun yang dikendalikan khidmat penerbangan swasta di kawasan pergunungan Nepal hilang pada Ahad (29 Mei).

Ia membawa 22 penumpang dengan pihak pengurusan penerbangan menyatakan cuaca mendung menghalang helikopter dalam misi mencari daripada terbang ke kawasan di mana pesawat itu berada sebelum ini.

Pesawat TaraAir itu berangkat dari kota pelancongan Pokhara, sekitar 125 meter arah barat dari ibu kota Kathmandu, dan menuju ke Jomsom, sekitar 80 kiilometer ke arah barat laut, tambah pihak pengurusan itu lagi.

Laman menjejak penerbangan Flightradar24 itu berkata bahawa pesawat De Havilland Canada DHC-6-300 Twin Otter dengan nombor pendaftaran 9N-AET itu kali pertama membuat penerbangan awam pada April 1979.

"Satu helikopter pencarian kembali ke Jomsom kerana cuaca buruk tanpa mengesan pesawat itu," kata Penguasa Penerbangan Awam Nepal dalam satu kenyataan,

"Helikopter sudah pun sedia berlepas bagi mencari dari Kathmandu, Pokhara dan Jomsom sejurus keadaan cuaca lebih baik. Pihak tentera dan polis menerusi pasukan mencarinya sudah bergerak menuju ke lokasi," jelas kenyataan itu.

Empat warga India, dua warga Jerman dan 16 warga Nepal termasuk tiga kru dikatakan berada dalam pesawat itu. Tujuh penumpangnya adalah wanita.

Pesawat itu hilang hubungan dengan menara kawalan lima minit sebelum ia sepatutnya dijadualkan mendarat di Jomsom, sebuah lokasi terkenal dalam kalangan pelancong, kata seorang pegawai penerbangan yang enggan namanya disiarkan. - AFP/Reuters