Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesawat Scoot menuju S'pura patah balik ke Perth bagi pendaratan kecemasan dek masalah teknikal

Jul 12, 2022 | 7:06 PM
Penerbangan Scoot yang menuju ke Singapura terpaksa patah balik ke Perth pada malam Isnin (11 Julai) setelah masalah teknikal dikesan kira-kira 20 minit dalam penerbangan. - Foto CMG
Penerbangan Scoot yang menuju ke Singapura terpaksa patah balik ke Perth pada malam Isnin (11 Julai) setelah masalah teknikal dikesan kira-kira 20 minit dalam penerbangan. - Foto CMG -

PERTH: Penerbangan Scoot yang menuju ke Singapura terpaksa patah balik ke Perth pada malam Isnin (11 Julai) setelah masalah teknikal dikesan kira-kira 20 minit dalam penerbangan.

Masalah teknikal itu dikesan pada 7.40 malam dan keputusan dibuat bagi Dreamliner Boeing 787-9 itu patah balik ke Perth, Australia, kata Scoot dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa (12 Julai).

Pesawat itu boleh membawa 375 penumpang. Scoot enggan mendedahkan jumlah penumpang dalam pesawat yang terjejas itu.

Penerbangan Scoot TR009 tidak dapat meneruskan perjalanan tepat pada masa pada Isnin kerana terdapat masalah dengan komponen teknikal pesawat itu.

Alat ganti yang diperlukan untuk pembaikan tidak terdapat di Perth dan perlu dihantar dari Singapura, kata Scoot.

Penumpang ditawarkan pilihan untuk ditempatkan pada TR009 pada Selasa, 6 petang, berdasarkan ketersediaan.

Alternatif lain yang ditawarkan oleh Scoot ialah penerbangan bantuan, TR5001/TR9D, dijangka tiba di Perth pada malam Selasa, 8 malam, dengan dijadualkan berlepas pada 9 malam.

Penerbangan dari Perth ke Singapura mengambil masa kira-kira lima jam, menurut laman web Scoot.

Pelanggan setempat telah dinasihatkan untuk kembali ke kediaman mereka, dan Scoot telah menyediakan penginapan hotel untuk penumpang lain.

Scoot juga akan membantu pelanggan dengan penerbangan sambungan dari Singapura dalam tempahan semula penerbangan mereka. - The Straits Times

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg