MANILA: Sekurang-kurangnya 17 orang terkorban selepas sebuah pesawat pengangkutan tentera yang membawa ramai askar yang dikerah menentang kumpulan pelampau di selatan Filipina, terhempas di wilayah Sulu, kubu kuat kumpulan pengganas Abu Sayyaf.

Jeneral Cirilito Sobejana, ketua tentera berkata pesawat Tentera Udara Filipina itu terhempas sekitar 11.30 pagi sedang ia cuba mendarat di bandar Patikul di Sulu.

Pesawat itu dari Cagayan de Oro, tempat ia mengangkut askar yang baru sahaja selesai kursus latihan.

"Ia terlepas mendarat di landasan...," kata Jeneral Sobejana.

Menteri Pertahanan, Delfin Lorenzana, memberitahu Reuters bahawa pesawat itu membawa 92 orang termasuk tiga juruterbang dan lima anggota kru lain, menurut laporan awal beliau.

Jurucakapnya, Arsenio Andolong, berkata 17 mayat sudah ditemui.

Menurut Jeneral Sobejana lagi sekurang-kurangnya 40 orang telah diselamatkan dari tempat kejadian itu.

"Para pegawai kini di tapak kejadian, kami berharap dapat menyelamatkan lebih ramai orang," kata beliau.

Gambar-gambar di media sosial menunjukkan pesawat itu telah diselubungi asap dan api.

Menurut laporan, pesawat berkenaan turut membawa lima kenderaan tentera.

Tentera Filipina telah memodenkan angkatan udaranya bagi menangani kumpulan pengganas dalam negeri serta cabaran yang dihadapi dari China di perairan yang dipertikaikan.

Awal bulan ini, helikopter Black Hawk yang baru diperolehi telah terhempas semasa penerbangan latihan. Enam terkorban dalam kejadian tersebut. - Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti