Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Petani Indonesia bantah larangan eksport minyak sawit

May 18, 2022 | 5:30 AM
BANTAH EKSPORT MINYAK SAWIT: Petani kelapa sawit Indonesia mengambil bahagian dalam satu bantahan yang menuntut pemerintah menamatkan larangan eksport minyak sawit, di luar pejabat Kementerian Penyelarasan Ehwal Ekonomi, di Jakarta, Indonesia, semalam. - Foto REUTERS
BANTAH EKSPORT MINYAK SAWIT: Petani kelapa sawit Indonesia mengambil bahagian dalam satu bantahan yang menuntut pemerintah menamatkan larangan eksport minyak sawit, di luar pejabat Kementerian Penyelarasan Ehwal Ekonomi, di Jakarta, Indonesia, semalam. - Foto REUTERS -

JAKARTA: Ratusan petani ladang kecil Indonesia semalam mengadakan bantahan di ibu kota Jakarta dan bahagian lain negara itu, menuntut pemerintah menamatkan larangan eksport minyak sawit yang telah mengurangkan pendapatan mereka.

Indonesia, pengeksport minyak sawit terkemuka dunia, sejak 28 April lalu telah melarang eksport minyak sawit mentah dan beberapa produk berkaitannya dalam usaha mengawal harga minyak masak domestik yang melonjak, sehingga menjejas pasaran minyak sayuran global.

Namun, usaha pemerintah mahu menjadikan minyak masak, bahan keperluan kebanyakan masakan keluarga di Indonesia, menjadi lebih dimampui telah gagal, sehingga menjejas populariti Presiden Joko Widodo dan mendorong tindak balas golongan petani.

"Petani Malaysia tersenyum, petani Indonesia menderita," demikian ditulis dalam satu sepanduk yang dibawa penunjuk perasaan.

Malaysia ialah pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia dan telah menyatakan ia mahu membekalkan pasaran yang dikosongkan Indonesia ekoran larangan eksport itu.

Dalam satu kenyataan, kumpulan petani kecil Apkasindo berkata sejak pengumuman larangan eksport, harga buah sawit turun 70 peratus di bawah harga minimum yang ditetapkan pihak berkuasa wilayah.

Kumpulan petani kecil, Apkasindo menganggarkan sekurang-kurangnya 25 peratus kilang sawit telah berhenti membeli buah sawit daripada petani bebas sejak larangan itu bermula.

Ini menunjukkan tangki simpanan buah sawit sudah hampir penuh di kilang, kata Encik Albertus Wawan, seorang petani dari wilayah Kalimantan Barat.

Wakil petani telah bertemu beberapa pegawai pemerintah untuk menyampaikan tuntutan mereka, kata pegawai kementerian ekonomi, Encik Susiwijono Moegiarso.

Presiden Widodo melaksanakan larangan eksport minyak sawit selepas dasar terdahulu gagal mengawal harga minyak masak domestik. - Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg