Subuh
5:36
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

E-MEL DARI KL

Petani muda punyai ijazah dalam sains pertanian

Mar 07, 2023 | 05:30 AM



DI sebalik hutan batu pencakar langit Kuala Lumpur, kelihatan sebidang tanah seluas hampir dua hektar yang subur menghijau.



Seorang anak muda bertopi merah dengan keringat membasahi tubuh sibuk memotong beberapa pelepah daun pokok pisang yang sedang ranum berbuah.



"Jantung pokok pisang seperti ini mesti dipotong kerana jika tidak buahnya nanti kurang elok," katanya sebaik sahaja saya melangkah masuk ke kebun yang kelihatan kemas terurus.



Encik Irfan Mohamad berusia awal 40-an tahun adalah seorang petani muda profesional yang mempunyai ijazah dalam sains pertanian mesra alam (permaculture).



Lapan tahun lalu, beliau dan beberapa orang rakan sealiran mula mengejar impian untuk memiliki sebuah kebun di tengah kota.



Ramai yang menganggap ia hanya satu idealisme orang muda.



Selama lebih lima tahun, Encik Irfan dan rakan-rakannya bertungkus lumus mengusahakan sebidang tanah yang terabai di sebuah kawasan perumahan mewah Taman Tun Dr Ismail (TTDI).



Mereka bertekad mahu membuktikan bahawa visi sebenarnya sarat dengan pengertian yang lebih bermakna dan memandang jauh ke masa depan.



Kebun yang diberi nama Urban Hijau menggunakan teknik pertanian tradisional serta hidrophonik dan akuaphonik tanpa sebarang bahan kimia atau penyembur serangga.



Ia bertujuan melindungi ekosistem alam sekitar sebaik mungkin dengan teknik pertanian selamat dan bersih.



"Waktu itu kami semua mempunyai kerjaya sepenuh masa dan menggunakan wang sendiri untuk menampung belanja menyewa tanah dan segala yang diperlukan untuk menjadikan tanah perumahan itu sebuah kebun yang subur.



"Ramai yang menyangka usaha kami hanya satu hobi masa lapang," kata Encik Irfan sambil tersenyum.



Anehnya, wabak Covid 19 pada 2020 yang mengancam dunia menjadi pendorong meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya kewujudan Urban Hijau.



Penduduk kota waktu itu dalam kegelisahan apabila bekalan sayur dari Cameron Highlands tidak dapat dibawa ke Kuala Lumpur akibat Perintah Kawalan Pergerakan seluruh negara.



"Pada mulanya orang ramai datang meminta kami menanam beberapa jenis sayur yang mereka mahukan.



"Tetapi semasa pandemik mereka bertanya apa jenis tanaman yang ada di kebun kami dan bagaimana untuk memasak sayur-sayuran itu.



"Waktu itu hasil tanaman kami agak lumayan sehingga kami dapat menjual sayur setiap hujung minggu untuk menampung keperluan masyarakat sekitar " kongsi Encik Irfan.



Urban Hijau kini mempunyai lebih 150 jenis tanaman sayur dan pokok buah-buahan seperti pisang dan nangka di kebun mereka.



Menurut Encik Irfan, isu bekalan makanan sering dipandang remeh kerana tidak ramai yang sedar dari mana dan bagaimana rumitnya makanan yang sedia terhidang setiap hari sampai ke meja makan.



Wabak Covid 19 yang tiba-tiba melumpuhkan rantaian bekalan makanan dunia adalah satu kejutan besar dan pengalaman getir yang membawa iktibar.



"Dulu ramai orang yang agak hairan apabila mengetahui saya seorang petani kota.



"Tetapi sekarang mereka ghairah ingin tahu apa sebenarnya yang saya lakukan dan mereka datang melawat ke kebun.' kata Encik Irfan.



Oleh itu, beliau dan rakan-rakannya bergerak aktif di sekolah dan institusi pengajian untuk meningkatkan kesedaran generasi muda dengan menganjurkan kem cuti sekolah di kebun Urban Hijau atau pun berkempen menanam pokok di kawasan sekolah dan kejiranan.



Hasil tanaman Urban Hijau kini dibeli dan ditaja sepenuhnya oleh beberapa syarikat swasta yang mendermakan sayur segar setiap minggu kepada ratusan keluarga berpendapatan rendah yang tinggal di kota.



Sukar dibayangkan impian sekumpulan anak muda pencinta alam berjiwa besar seperti Encik Irfan dan rakan-rakannya yang pernah menjadi bahan gurauan bukan sahaja meningkatkan kesedaran masyarakat sewaktu krisis tetapi menjadi usaha niaga yang membawa faedah pada golongan miskin.



"Mungkin sukar menguruskan sebuah ladang seluas seribu hektar di kawasan kota.



"Oleh itu, impian kami ialah menggalak warga kota mengusahakan seribu ladang seluas hanya satu hektar berdekatan kawasan rumah mereka.



"Ini adalah satu pelaburan kecil untuk menghadapi krisis bekalan makanan yang mungkin berlaku lagi " kata Encik Irfan.




► Penulis mantan wartawan BH dan kini tinggal di Kuala Lumpur. Beliau penulis tamu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >