JAKARTA: Pemerintah Indonesia mengeluarkan amaran kepada petani dan syarikat perladangan agar bersiap siaga bagi menghadapi kebakaran di Sumatera dan Kalimantan, berikutan kemungkinan berlaku cuaca kering berpanjangan di Asia Tenggara dek corak cuaca El Nino.

Sumatera Tengah - tempat jerebu sesekali berarak ke Semenanjung Malaysia dan Singapura - biasanya mengalami cuaca kering dua kali setahun, sekitar Mac dan Oktober.

Ketua Agensi Kaji Cuaca, Iklim dan Geofizik, Dr Dwikorita Karnawati, berkata selepas tiga tahun berturut - 2020, 2021 dan 2022 - cuaca kebanyakannya basah, petani dan syarikat perladangan mungkin terperangkap pada 2023, apabila ada 50 peratus kemungkinan El Nino berlaku.

"Hujan akan kurang bukan pada Oktober sahaja," kata beliau. "Sebenarnya, kami juga menyaksikan hujan kurang dalam Februari."

Beliau menarik perhatian cuaca kering sudah di alami di Riau, sebahagian Jambi dan Sumatera Utara, sebahagian Sulawesi dan barat laut wilayah Papua Barat.

Semua bahagian lain di Indonesia mengalami musim kering sekali sahaja, antara Mei dan September.

"Kita harus berwaspada, terutama di Riau dan Jambi, bagi kemungkinan berlaku kebakaran hutan dan kawasan perladangan," kata Dr Dwikorita.

Menurutnya, kejadian cuaca basah, atau La Nina, tiga tahun berturut-turut mendorong kebanyakan petani dan syarikat menggunakan kaedah tebas dan bakar bagi membersihkan kawasan perladangan.

Tetapi tindakan sedemikian tidak boleh dilakukan dalam keadaan cuaca sangat kering pada 2023.

Indonesia mengalami keadaan berjerebu dalam beberapa tahun antara 1997 dan 2015 apabila petani dan syarikat perladangan mengamalkan kaedah tebas dan bakar.

Kebakaran pada 1997 dan 2015 sangat meluas, diburukkan oleh kemarau. Jerebu akibat kebakaran pada 2015 turut menyelubungi Singapura dan Malaysia.

Pada tahun-tahun berikutnya, penguatkuasaan undang-undang lebih ketat - termasuk perintah tembak jika nampak orang yang memulakan kebakaran - dan penyediaan peralatan pemadam api lebih baik yang diwajibkan ke atas syarikat perladangan berhasil mengurangkan kebakaran dengan banyak.

Encik Subakir, seorang guru di sekolah rendah di Palangkaraya, pusat krisis jerebu 2015, memberitahu akhbar The Straits Times papan iklan serta sepanduk jalanan mengenai hukuman berat bagi kesalahan menebas dan membakar, dapat membendung orang yang mungkin melakukan kesalahan itu.

"Sekarang, apabila kebakaran kecil dikesan, pihak berkuasa akan segera ke tempat kejadian untuk memeriksa, dan apabila kebakaran dibiarkan tanpa dikawal, pemilik kawasan itu akan menghadapi tindakan," kata Encik Subakir, 50 tahun.

Pihak berkuasa Indonesia masih membenarkan petani menggunakan kaedah tebas dan bakar, tetapi mengenakan syarat untuk mencegah api daripada merebak.

Kawasan yang hendak dibakar tidak boleh melebihi satu hektar, parit yang mengalirkan air harus digali di sekitar kawasan itu, dan keseluruhan proses itu mesti diselenggarakan oleh pengawasnya.

Untuk mengurangkan kemungkinan berlaku kebakaran yang boleh merebak, pemerintah mengagihkan secara beransur-ansur, jentolak ke kawasan mudah terbakar bagi membantu petani membersihkan kawasan pertanian mereka.