KUALA LUMPUR: Sebuah peti besi di kediaman mantan perdana menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak, di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini telah dapat dibuka dan di dalamnya tersimpan mata wang asing lama yang kecil jumlahnya.

Jurucakap Datuk Najib berkata dalam satu kenyataan lewat semalam bahawa ia turut mengandungi beberapa dokumen, termasuk sijil perkahwinan Datuk Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor, lapor Bernama.

"Ia adalah sebuah peti besi yang berusia lebih 20 tahun dan dibuka secara paksa kerana kuncinya sudah hilang," kata jurucakap itu.

Menurutnya, peti besi itu terpaksa dibuka menggunakan kepakaran tukang kunci.

Jurucakap itu seterusnya berkata peti besi di kediaman rasmi Seri Perdana di Putrajaya adalah sebahagian daripada rumah berkenaan.

"Tidak sepatutnya timbul masalah membukanya," menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, polis dilaporkan menghadapi kesukaran membuka peti besi itu selepas dikatakan kuncinya sudah lama hilang.

Pemeriksaan di kediaman mantan perdana menteri itu, serta lima lokasi lain yang ada kaitan dengan beliau, sebahagian daripada siasatan kes penyelewengan dana syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (IMDB).

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti