WASHINGTON: Pfizer telah mula mengusahakan vaksin Covid-19 versi khusus bagi varian Omicron sekiranya vaksin semasa itu tidak berkesan terhadap varian terbaru itu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) firma itu, Encik Albert Bourla, berkata Pfizer telah mula menguji vaksin semasa terhadap varian Omicron, yang pertama kali dilaporkan di Afrika Selatan dan mencetuskan semula kebimbangan kemungkinan berlaku gelombang baru global jangkitan Covid-19.
"Saya tidak fikir hasilnya akan menunjukkan vaksin sedia ada tidak memberi perlindungan. Tetapi ujian itu boleh menunjukkan yang sedia ada kurang melindungi, bermaksud kita perlu mencipta vaksin baru.
"Jumaat ini, kami akan buat acuan DNA pertama, yang juga perubahan pertama yang mungkin berlaku dalam proses pembangunan vaksin baru," kata beliau.
Syarikat farmaseutikal Johnson & Johnson Isnin lalu juga berkata ia menghasilkan vaksin khusus bagi varian Omicron dan akan memajukannya mengikut keperluan.
Moderna, sebuah lagi pengeluar vaksin Covid-19 terkemuka, pula berkata ia sedang membangunkan suntikan penggalak terhadap varian baru itu.
Encik Bourla menyamakan keadaan kini dengan senario awal tahun ini apabila Pfizer dan rakan kongsinya dari Jerman, BioNTech, membangunkan vaksin Covid-19 dalam 95 hari.
Ada kebimbangan formula sebelumnya tidak akan berkesan terhadap varian Delta, walaupun versi itu akhirnya tidak digunakan.
Menurutnya, vaksin semasa sangat berkesan terhadap Delta, dan syarikatnya menjangka dapat menghasilkan empat bilion dos vaksin pada 2022.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Isnin lalu memberi amaran varian Omicron menimbulkan risiko sangat tinggi di seluruh dunia.
Encik Bourla berkata beliau juga sangat yakin pil antivirus Pfizer yang diumumkan baru-baru ini akan berfungsi sebagai rawatan bagi jangkitan yang disebabkan oleh mutasi, termasuk Omicron.
Dalam kalangan pesakit baru dijangkiti, berisiko tinggi dan dirawat dalam tempoh tiga hari dari permulaan simptom, penggunaan pil Pfizer menunjukkan pengurangan kemasukan ke hospital atau kematian hampir 90 peratus.
Sebelum ini, saintis Britain yang mengetuai penyelidikan bagi vaksin AstraZeneca berkata vaksin baru bagi menentang varian Omicron boleh dibangunkan dengan "sangat cepat" jika diperlukan.
Pengarah Kumpulan Vaksin Oxford, Profesor Andrew Pollard, berkata vaksin sedia ada sepatutnya berkesan terhadap strain baru, namun keputusannya hanya akan jelas lepas lebih banyak penyelidikan dibuat dalam beberapa minggu ini. - AFP
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg