KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa bagi berunding dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) berhubung permohonan mereka untuk bekerjasama dengan gabungan itu secara rasmi.
Majlis Presiden PH dalam kenyataan kelmarin memaklumkan, jawatankuasa itu akan dianggotai oleh seorang wakil dari setiap parti komponennya iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad dari Parti Keadilan Rakyat (PKR); Encik Steven Sim (DAP); Encik Mohd Hasbie Muda (Amanah) dan Datuk Ewon Benedick (Upko).
"Majlis Presiden PH dalam mesyuarat hari ini (kelmarin) meneliti dan membincangkan permohonan keanggotaan Muda serta hasrat PSM untuk bekerjasama dengan PH secara rasmi.
"Hasrat Muda dan PSM ini bererti parti yang bersedia berpegang kepada prinsip dan berada di landasan yang sama dengan PH dapat dirangkul kekuatan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
"Pada masa sama, pertembungan kerusi pada PRU15 akan dapat dielakkan," katanya.
Kenyataan Majlis Presiden PH dikeluarkan secara bersama oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Encik Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Encik Anthony Loke Siew Fook; dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, sebelum ini dilapor berkata partinya berhasrat menyertai PH sebagai komponen dalam gabungan itu bagi menghadapi PRU15.
Beliau berkata, Muda juga terbuka mengadakan perbincangan rasmi bersama Majlis Presiden PH berhubung hal itu, dengan cadangan menyertai PH juga sebenarnya sudah bermula sejak berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Timbalan Pengerusi PSM, Encik S Arulchelvan, mengesahkan pihaknya sudah menghantar surat rasmi untuk menyertai PH sejak dua bulan lalu. - BHM.