Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PH tarik sokong jika undang-undang antilompat parti tak dilulus

Feb 16, 2022 | 5:30 AM
DATUK SERI ANWAR IBRAHIM: Berkata sekiranya rang itu dipersetujui dan diluluskan pada sesi Parlimen nanti, PH sedia berunding untuk meneruskan persefahaman berkenaan. - Foto fail
DATUK SERI ANWAR IBRAHIM: Berkata sekiranya rang itu dipersetujui dan diluluskan pada sesi Parlimen nanti, PH sedia berunding untuk meneruskan persefahaman berkenaan. - Foto fail -

JOHOR BAHRU: Memorandum persefahaman (MOU) mengenai kerjasama dwipartisan antara Pakatan Harapan (PH) dengan kerajaan tidak akan diteruskan sekiranya Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Lompat Parti tidak diluluskan pada sesi Parlimen Mac depan.

Ketua Pembangkang yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sekiranya rang itu dipersetujui dan diluluskan pada sesi Parlimen nanti, PH sedia berunding untuk meneruskan persefahaman berkenaan.

Jika tidak, MOU itu akan terbatal dan PH akan menarik balik sokongannya daripada kerajaan sedia ada.

"Buat waktu ini, kita tidak boleh harapkan apa-apa selebihnya daripada kerajaan Persekutuan.

"Benar ada MOU, yang menetapkan beberapa peruntukan tambahan RM45 bilion ($14.47 bilion) untuk selesaikan masalah Covid-19, RM10 bilion masalah kemiskinan dan Undi18 yang ditetapkan.

"Namun RUU Anti-Lompat Parti mesti diluluskan sebelum akhir sesi Parlimen pada Mac, sekiranya tidak, maka MOU itu kita tolak.

"Kalau setuju, rundingan boleh diteruskan, kalau tidak, terbatal secara sendirinya MOU itu," katanya pada Majlis Pelancaran Jentera PH dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kelmarin.

MOU Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik ditandatangani kerajaan dan PH pada 13 September 2021, antara lain bersetuju melakukan transformasi melibatkan pelan pemulihan Covid-19, pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan penubuhan Jawatankuasa Pemandu.

Sementara itu, Naib Presiden Majlis Presiden PH, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata berkata rang tersebut adalah salah satu syarat yang dipersetujui yang dinyatakan dalam MOU yang ditandatangani September lalu.

"Saya anggota Jawatankuasa Penyelaras MOU PH dan kerajaan.

"Memang itu perkara asas yang juga aspek terbesar dalam MOU dan sekiranya pada sesi Parlimen Mac ini, ia tidak dibawa dan diluluskan, PH akan tarik sokongan kepada Perdana Menteri," katanya.

Beliau memaklumkan bahawa kerjasama PH dengan kerajaan adalah baik setakat ini.

"Semuanya berada di landasan betul dan kami berharap Rang Undang-Undang ini akan diluluskan pada sesi akan datang," katanya sambil menambah, rang itu akan memberi jaminan kepada rakyat bahawa wakil rakyat mereka tidak akan melompat ke parti lain selepas menang dalam pilihan raya.

Mengenai kemungkinan kerajaan Persekutuan tumbang disebabkan PH menarik balik sokongan terhadap MOU itu, beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) dan Ahli Parlimen (AP) Pulai, membayangkan kemungkinan itu boleh berlaku. - The Star, BHM.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg