Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Phuket buka pintu kepada pelancong asing

Jul 6, 2021 | 5:30 AM
SEDIA TERIMA PELANCONG: Seorang pekerja sedang membersihkan satu kawasan berdekatan pantai di Phuket sedang pulau itu bersedia dibuka semula kepada pelancong yang telah diberi vaksinasi sepenuhnya mulai 1 Julai. - Foto REUTERS
SEDIA TERIMA PELANCONG: Seorang pekerja sedang membersihkan satu kawasan berdekatan pantai di Phuket sedang pulau itu bersedia dibuka semula kepada pelancong yang telah diberi vaksinasi sepenuhnya mulai 1 Julai. - Foto REUTERS -

BANGKOK: Rancangan Thailand membuka semula pulau peranginan Phuket bulan ini kepada pelancong asing yang telah divaksin - tidak perlu menjalani kuarantin - telah mendapat sambutan kurang hangat.

Inisiatif 'Phuket Sandbox' yang bermula 1 Julai membolehkan pergerakan bebas di pulau itu bagi golongan pelancong itu, tanpa sebarang pengasingan semasa tiba di situ.

Mereka kemudian diberi lampu hijau melakukan perjalanan ke tempat lain di Thailand setelah tempoh 14 hari.

Namun ada beberapa syarat rumit, dengan banyak pemain industri mengeluh bahawa ketidakpastian dan perubahan aturan yang sering berlaku menghalang tempahan pelancong.

"Ini akan menjadi proses yang perlahan. Tidak satu pun daripada kami mengharapkan kadar huni 100 peratus pada 2 Julai," kata Encik Anthony Lark, presiden Persatuan Hotel Phuket kepada Reuters.

Syarikat penerbangan Thai Airways yang turut menyertai inisiatif itu, dengan penerbangan langsung dari enam kota Eropah ke Phuket mulai Julai, menjangka hanya sebahagian kecil kerusi pesawat terisi, khususnya pada minggu-minggu pertama.

Bagi ekonomi yang bergantung besar pada pelancongan bagi mewujudkan pekerjaan dan perbelanjaan, ketibaan pelancong itu tidak akan membawa kelegaan segera.

Namun penghapusan syarat kuarantin selama dua minggu yang mahal dapat memberi harapan baru.

"Kami melihat minat yang kuat, terutama dari Timur Tengah, Britain, Eropah dan Scandinavia, untuk kembali ke Phuket secara beransur-ansur," kata Encik Lark.

Thailand kehilangan sekitar AS$50 bilion ($67 bilion) dalam pendapatan pelancongan tahun lalu apabila kedatangan pelancong turun 83 peratus kepada 6.7 juta, daripada rekod 39.9 juta pelancong pada 2019.

Kemerosotan itu disebabkan sekatan perjalanan sejagat dan syarat kemasukan Thailand yang ketat.

Phuket, khususnya, teruk terjejas dengan kehilangan pekerjaan dan penutupan perniagaan.

Kerajaan Thailand berharap Phuket Sandbox dapat menarik 129,000 pelancong ke negara ini pada suku ketiga - jauh daripada purata 3.3 juta ketibaan bulanan ke Thailand pada 2019.

Umumnya, seperempat pelancong ke Thailand pergi ke Phuket. Thailand hanya menerima 28,701 pelawat dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Namun seorang pemilik hotel di Phuket berkata inisiatif tersebut tidak begitu memberangsangkan dan akan membuat sedikit perbezaan sahaja.

Ini kerana sebahagian besar sasaran pelancong itu - kelas menengah dan penduduk Asia yang kaya - harus dikuarantin apabila mereka pulang ke negara masing-masing.

Di Phuket, pihak berkuasa telah meningkatkan usaha untuk memvaksinasi 70 peratus penduduknya, dengan kadar itu jauh lebih tinggi daripada ibu kota Bangkok, pusat wabak terburuk Thailand.

Phuket mencatat kes satu angka Covid-19 hampir setiap hari sejak Mei. Sebaliknya, Bangkok mencatat ratusan kes baru sehari pada bulan sama.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg