BANGKOK: Thailand melaporkan jumlah rekod 57 kematian dalam sehari akibat Covid-19 semalam.
Sedang negara Asia Tenggara itu terus memerangi gelombang ketiga jangkitan Covid-19 di sana, ini merupakan hari kedua berturut-turut negara itu mencatat jumlah rekod kematian.
Semalam juga, Thailand melancarkan program untuk menghidupkan semula pelancongan di pulau peranginan popular Phuket, yang mencatat jumlah kes lebih rendah berbanding kawasan lain di negara itu.
Ini menyusuli langkah kerajaan mengutamakan vaksinasi bagi penduduk pulau tersebut.
Di bawah rancangan itu, pelancong dari luar negara yang sudah divaksinasi tidak perlu memenuhi keperluan kuarantin dan boleh bebas ke mana-mana di pulau itu.
Selepas 14 hari, jika tidak ada sebarang isu Covid-19, mereka boleh pergi ke kawasan lain di Thailand.
Thailand kehilangan sekitar AS$50 bilion ($67 bilion) pendapatan hasil pelancongan tahun lalu, dengan ketibaan warga asing menjunam 83 peratus kepada 6.7 juta orang daripada jumlah rekod 39.9 juta orang pada 2019.
Phuket antara lain terjejas teruk dengan kehilangan pekerjaan dan perniagaan yang terpaksa ditutup.
Jumlah kematian akibat Covid-19 yang dilaporkan semalam bermakna 2,080 orang telah terkorban akibat koronavirus itu sejak pandemik itu bermula tahun lalu.
Pasukan bertindak Covid-19 Thailand, membawa jumlah keseluruhan jangkitan kepada 264,834 kes. - Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg