BAITULMAKDIS: Israel berdepan ketidaktentuan politik yang mungkin berlarutan beberapa minggu selepas pilihan raya umum pada 27 Oktober gagal memberikan majoriti jelas kepada mana-mana gabungan, sekali gus mengancam kedudukan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

Keputusan awal menunjukkan parti pimpinan masyarakat Arab mencatat pencapaian bersejarah, menjadikan mereka berpotensi sebagai penentu pembentukan pemerintahan baru.

Keadaan itu membuka kemungkinan yang sebelum ini sukar dibayangkan dalam politik Israel, iaitu kerjasama antara parti Yahudi dengan parti Arab untuk menyingkirkan Encik Netanyahu daripada kuasa.

Bagaimanapun, langkah tersebut dijangka menghadapi tentangan kerana isu identiti Israel sebagai negara Yahudi dan hubungan dengan masyarakat Palestin masih menjadi perkara sensitif.

Dengan 88 peratus undi dikira, parti Likud pimpinan Encik Netanyahu mendahului dengan 20.7 peratus undi, diikuti parti Yashar pimpinan bekas ketua tentera, Encik Gadi Eisenkot, dengan 16.2 peratus.

Parti-parti pimpinan masyarakat Arab pula meraih gabungan 15 peratus undi, pencapaian yang meningkatkan pengaruh politik masyarakat Arab Israel.

Keputusan muktamad masih menunggu pengiraan undi terakhir, namun unjuran 53 kerusi bagi gabungan Netanyahu, 48 bagi gabungan Eisenkot dan 19 bagi parti Arab turut dilaporkan oleh The Times of Israel dan Reuters.

Parti-parti Arab pula diunjurkan memenangi 19 kerusi.

Parlimen Israel, atau Knesset, mempunyai 120 kerusi dan sesebuah gabungan memerlukan sekurang-kurangnya 61 kerusi untuk membentuk kerajaan majoriti.

Ini bermakna kedua-dua gabungan utama tidak mempunyai kerusi mencukupi untuk memerintah tanpa mendapatkan sokongan tambahan.

Keputusan penuh dijangka diumumkan seawal malam 29 Oktober selepas kira-kira 500,000 undi tidak hadir, termasuk daripada anggota tentera dan diplomat, selesai dikira.

Hampir 78 peratus pengundi yang layak keluar mengundi, kadar tertinggi sejak 1999.

Encik Netanyahu pada 28 Oktober memberi amaran mengenai kemungkinan pembentukan sebuah pemerintah yang disifatkannya sebagai ‘berbahaya’ sekiranya parti Arab dilibatkan dalam gabungan pemerintah.

Parti Likud turut mendakwa pilihan raya itu telah ‘dicuri’ oleh parti Arab dan meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan.

Bagaimanapun, parti tersebut tidak mengemukakan bukti khusus bagi menyokong dakwaan itu.

Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat Israel pula memaklumkan bahawa jumlah laporan mengenai penyelewengan pilihan raya jauh lebih rendah berbanding pilihan raya terdahulu.

Walaupun Likud kekal sebagai parti terbesar, sokongannya merosot berbanding 23.4 peratus undi yang diperoleh pada 2022.

Keputusan itu mencerminkan rasa tidak puas hati sebahagian pengundi terhadap kerjasama Encik Netanyahu dengan parti berhaluan kanan jauh serta pengecualian perkhidmatan tentera bagi sebahagian masyarakat Yahudi ultra-Ortodoks.

Namun, parti pembangkang juga gagal memperoleh kemenangan besar yang membolehkan mereka menyingkirkan Encik Netanyahu dengan mudah.

Encik Eisenkot, pencabar utama Encik Netanyahu, tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan parti Arab, tetapi menetapkan beberapa syarat.

Antaranya, parti berkenaan perlu mengiktiraf Israel sebagai negara Yahudi dan Hamas sebagai kumpulan pelampau.

Bagaimanapun, sebahagian parti yang dijangka menjadi sekutu Encik Eisenkot masih menolak kerjasama tersebut.

Pilihan lain yang dibincangkan ialah pembentukan pemerintah perpaduan membabitkan Encik Netanyahu dan Encik Eisenkot.

Presiden Israel, Encik Isaac Herzog, menggesa semua pihak mengelakkan satu lagi pilihan raya.

“Kami mesti melakukan segala yang mungkin, terutama selepas pilihan raya semalam, untuk mengelakkan satu lagi pilihan raya,” katanya.

Encik Eisenkot turut menegaskan bahawa keputusan pengundi perlu dihormati.

“Selepas pilihan raya dengan kadar keluar mengundi begitu tinggi, adalah satu kesilapan untuk mengadakan pilihan raya sekali lagi,” katanya.

Israel pernah mengadakan lima pilihan raya antara April 2019 dengan November 2022 akibat kebuntuan politik yang berpanjangan.

Masyarakat Arab membentuk kira-kira 20 peratus penduduk Israel. Kebanyakan mereka merupakan keturunan rakyat Palestin yang kekal di wilayah tersebut selepas penubuhan Israel pada 1948.

Mereka sering berdepan diskriminasi dan ketidakpercayaan daripada sebahagian masyarakat Yahudi, terutama kerana sokongan terhadap perjuangan Palestin.

Keadaan itu bertambah rumit selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, walaupun warga Arab Israel turut menjadi mangsa serangan dan penculikan.

Di ibu pejabat parti Senarai Arab Bersatu (Ra’am), penyokong meraikan keputusan pilihan raya yang meningkatkan pengaruh politik mereka.

Pemimpin parti itu, Encik Mansour Abbas, menegaskan masyarakat Arab tidak lagi boleh diketepikan daripada proses politik negara.

“Kami berada di sini. Kami bukan lagi golongan yang berada di pinggir,” katanya.

Pemimpin Parti Demokrat, Encik Yair Golan, turut menyokong penyertaan parti Arab dalam pemerintah.

Beliau menggesa rakyat Israel menghentikan perpecahan antara masyarakat Yahudi dengan Arab.

“Kami tidak mempunyai masa depan di sini jika terus hidup dalam ketakutan,” katanya.

Di Tel Aviv, seorang pengundi, Cik Hanna Doukhan, berkata keputusan pilihan raya memaksa masyarakat Israel menerima hakikat bahawa sokongan parti Arab mungkin diperlukan untuk membentuk pemerintah.

“Saya tidak nampak bagaimana sebuah pemerintah boleh dibentuk tanpa sokongan masyarakat Arab,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Cik Eti Wissotzky-Cohen, berharap kerjasama politik antara kedua-dua masyarakat dapat membantu memulihkan hubungan sosial yang semakin renggang.

Di Nazareth, antara bandar Arab terbesar di Israel, Encik Awni Zoabi menyambut baik kemungkinan perubahan politik.

Beliau berharap keputusan pilihan raya dapat mengurangkan retorik melampau dan diskriminasi terhadap masyarakat Arab.

“Bahasa Arab seolah-olah sudah dianggap satu jenayah,” katanya.

Bagaimanapun, pembentukan pemerintah masih bergantung pada rundingan antara parti yang mempunyai perbezaan besar dalam isu Palestin, keselamatan dan identiti negara.

Sekiranya tiada gabungan berjaya memperoleh majoriti, Israel mungkin terpaksa mengadakan pilihan raya baru awal tahun 2027.

Buat masa ini, keputusan pilihan raya menunjukkan bahawa walaupun Encik Netanyahu masih mempunyai sokongan besar, parti-parti Arab kini memegang pengaruh penting dalam menentukan hala tuju politik Israel. – Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti