Topik diikuti
Pergi ke BHkuPilihan raya Melaka ujian terbesar dua pemimpin utama Umno
Pilihan raya Melaka ujian terbesar dua pemimpin utama Umno
PILIHAN raya negeri (PRN) Melaka yang akan berlangsung pada 20 November ini akan menjadi ujian terbesar bagi dua pemimpin utama Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perhitungan terbesar adalah dalam memastikan Dr Ahmad Zahid mampu meyakinkan pucuk pimpinan, ahli dan penyokong parti bahawa kedudukannya sebagai Presiden Umno mampu mengembalikan semula tanah Hang Tuah ke pangkuan parti Sang Saka Bangsa.
Tidak cukup dengan itu, keyakinan rakyat akan menjadi ukuran utama dalam usaha Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dan naib presiden parti itu, mengembalikan semula kepimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pembentukan kerajaan, yang tewas dalam pilihan raya umum 2018.
Natijahnya, kemenangan besar yang dikecapi di Melaka nanti menjadi talian hayat bukan sahaja untuk kedua-dua pemimpin ini mengekalkan kedudukan masing-masing di jawatan tertinggi parti dan negara, tetapi lebih penting lagi meletakkan Umno dan BN dalam kedudukan lebih selesa menjelang pilihan raya umum yang dijangka berlaku seawal tahun depan.
"Kita ingatkan kembali kepada rakyat Melaka apa yang telah berlaku selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
"Malaysia kehilangan kestabilan politik, ekonomi rakyat dan negara merosot, perpaduan masyarakat merundum.
"Rakyat pula dituduh pemalas, malah diminta ikat perut dan jangan terus mengharapkan bantuan kerajaan," tulis Dr Ahmad Zahid di Facebook kelmarin dan turut mengingatkan bahawa usahanya kini adalah untuk menebus semula jaminan masa hadapan dan kestabilan yang mutlak bersama BN.
Sejauh ini, pembentangan Belanjawan 2022 bertemakan 'Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera' yang bersandarkan tiga paksi utama, iaitu Memperkukuh Pemulihan, Membina Daya Tahan dan Memacu Pembaharuan, bernilai RM332.1 bilion ($108 bilion) disambut baik oleh rakyat, pakar ekonomi dan pemimpin politik termasuk kepimpinan pembangkang.
"Semua pihak mendapat manfaat daripada Bajet 2022 ini termasuklah penduduk desa, pekebun kecil, petani, mahasiswa serta anak muda, para peniaga, para ibu yang mencorakkan keluarga, para OKU yang istimewa, penjawat awam, hatta pendidikan anak-anak kecil.
"Malah, penekanan besar turut diberikan untuk manfaat dan pembangunan rakyat di Sabah dan Sarawak," kata Datuk Ismail Sabri dalam catatannya di Facebook.
Hal serupa turut dinyatakan Dr Ahmad Zahid yang berkata matlamat Umno dan BN adalah dalam "meletakkan Malaysia dalam landasan ekonomi menuju sebuah negara berpendapatan tinggi yang jitu.
Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Melaka menawarkan 28 kerusi dengan Umno telah pun mengumumkan kesediaan bekerjasama dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS).
Bagaimanapun terdapat pertentangan hebat dengan mantan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang memimpin gagasan Perikatan Nasional (PN) berkemungkinan besar akan bertanding di semua 28 kerusi itu.
"Majoriti rakyat Malaysia berbilang bangsa dan agama merindui pentadbiran kerajaan BN.
"Maka PRN Melaka langkah pertama untuk mengembalikan apa yang pernah negara kehilangan," ujar Dr Ahmad Zahid lagi.
"Majoriti rakyat Malaysia berbilang bangsa dan agama merindui pentadbiran kerajaan BN. Maka PRN Melaka langkah pertama untuk mengembalikan apa yang pernah negara kehilangan." - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Umno.
