Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Pilihan raya M'sia: Kesemua 222 kerusi Parlimen ditandingi

Hari penamaan calon saksikan tokoh politik utama termasuk Ismail Sabri, Anwar dan Dr M berentap dalam pertembungan beberapa penjuru
Nov 06, 2022 | 05:30 AM



Dari Gombak, Selangor - KESEMUA 222 kerusi Parlimen akan ditandingi, dengan kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Malaysia rasmi bermula semalam menyusuli penamaan calon.



Kempen sengit boleh dijangkakan sepanjang 14 hari menjelang hari mengundi pada 19 November, dengan hari penamaan calon semalam memperlihat pertandingan yang menampilkan beberapa tokoh politik utama berentap dalam pertembungan beberapa penjuru di banyak kawasan Parlimen.



Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga penyandang kerusi Parlimen Port Dickson, berpindah untuk bertanding di kawasan Parlimen Tambun di Perak kali ini.



Dalam pertandingan empat penjuru di kawasan Parlimen itu, beliau akan berhadapan dengan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Aminuddin Md Hanafiah (BN); calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Encik Abdul Rahim Tahir; serta penyandang kerusi Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, yang juga dikenali sebagai Peja, yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN).



Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang akan mempertahankan kerusi Parlimen beliau di Bera, Pahang, pula menghadapi pertandingan tiga penjuru, berhadapan dengan dua pencabar iaitu calon PN, Datuk Asmawi Harun, dan calon Pakatan Harapan (PH), Haji Abas Awang.



Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, serta pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad, juga akan mempertahan kerusi Parlimen masing-masing.



Kerusi Parlimen Pagoh yang disandang Tan Sri Muhyiddin selama enam penggal menyaksikan pertembungan tiga penjuru, dengan beliau berhadapan dengan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Seri Razali Ibrahim, yang mewakili BN serta Encik Iskandar Shah yang bertanding atas tiket PH.



Sementara itu, Dr Mahathir, yang bertanding atas tiket Pejuang, pula berhadapan dengan pencabar daripada BN, Datuk Armishah Siraj; Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN); Encik Zabidi Yahya (PH); serta Datuk Abd Kadir Sainudin (calon bebas).



Kerusi Parlimen Sungai Buloh pula akan menyaksikan pertandingan tujuh penjuru, dengan Menteri Kesihatan Malaysia, Encik Khairy Jamaluddin, yang bertanding atas tiket BN akan berhadapan dengan enam calon lain.



Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM), Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata semalam bahawa kawasan Parlimen Batu di Kuala Lumpur mencatatkan jumlah pertandingan tertinggi dalam PRU15, melibatkan pertandingan 10 penjuru.



Antara mereka yang bertanding di kawasan Parlimen itu termasuk calon PH, Encik P Prabakaran, yang juga penyandang kerusi Parlimen itu; calon BN, Datuk A Kohilan Pillay; dan calon PN, Ustaz Azhar Yahya.



Terdapat empat calon bebas juga yang bertanding di kawasan Parlimen itu termasuk pempengaruh media sosial yang juga ahli perniagaan, Cik Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin yang lebih dikenali dengan gelaran 'Cleopatra'; dan peguam Cik Siti Kassim.



Beberapa kejutan turut berlaku pada hari penamaan calon semalam.



Antaranya termasuk kekecohan yang berlaku di Dewan DSP Antanom di kawasan Parlimen Tenom, Sabah, apabila sepasukan penyokong dipercayai menimbulkan provokasi sehingga memaksa Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) melepaskan gas pemedih mata di kawasan itu.



Kekecohan itu difahamkan berlaku menyusuli penolakan pencalonan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony, yang ingin bertanding bagi kerusi Parlimen Tenom.



Dalam satu sidang media semalam, Tan Sri Abdul Ghani berkata enam kertas pencalonan turut ditolak semalam, termasuk empat bagi kerusi Parlimen dan dua bagi kerusi DUN.



Di pusat penamaan calon bagi kerusi Parlimen Bandar Tun Razak di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pula, Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail, pula menyedari beliau tidak membawa kad pengenalannya, atau MyKad, ketika hampir memasuki pusat penamaan calon itu.



Penyandang Ahli Parlimen Pandan itu kemudian berpatah balik dan mendapatkan MyKad beliau daripada anaknya yang berada bersama penyokong di luar.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >