JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan Barisan Nasional (BN) memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu (12 Mac)..
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata jumlah pengundi yang keluar mengundi membabitkan 1.426 juta atau 54.92 peratus.
"Keputusan penuh PRN Johor adalah seperti berikut, Barisan Nasional (BN) 40 kerusi, Pakatan Harapan (PH) 11, Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi manakala PKR dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pula masing-masing satu kerusi," katanya di sidang media pada lewat Sabtu malam.
Calon MUDA, Amira Aisya Abdul Aziz menang di kerusi DUN Puteri Wangsa.
Akhbar The Straits Times melaporkan, Hasni Mohammad yang dijangka mengangkat sumpah sekali lagi sebagai Ketua Menteri Johor, mengucapkan terima kasih kepada pengundi kerana mandat yang diberikan sambil menambah mereka memilih kestabilan.
"Saya menggesa semua pengundi, sama ada mereka yang ,mengundi BN atau tidak agar bersatu dengan saya demi masa depan Johor," ujar Hasni.
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, memberi pujian kepada mantan Perdana Menteri, Najib Tun Razak, sebagai pengurus kempen bagi Pilihan Raya Negeri Johor ini meskipun tidak mempunyai kedudukan rasmi dalam BN. Menurut Zahid lagi, kemenangan BN itu adalah sebagai "hadiah" buat Najib. - The Straits Times/ Berita Harian Malaysia