Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

PILIHAN RAYA UMUM THAILAND

Ramai calon muda masuk gelanggang

May 14, 2023 | 05:30 AM



PILIHAN raya Thailand pada Ahad (14 Mei) menyaksikan lebih ramai calon muda mengambil bahagian.



Kehadiran mereka yang awalnya sebagai calon beberapa parti politik kemudiannya memberi kesan segera dengan lebih banyak parti kemudian mengemukakan orang muda dalam kalangan calon mereka.



Seorang calon muda, Cik Sirikanya Tansakun, berkata beliau berminat dalam politik sejak kecil lagi.



Semasa kanak-kanak, permainan kegemarannya bersama arwah bapanya adalah lain daripada lain.



"Dia (bapa) akan menjerit nama ahli politik, dan saya akan menjerit nama keluarganya (ahli politik itu).



"Itulah permainan kami, dan ia membuatkan saya sangat berminat dalam politik ketika saya masih muda," kata Cik Sirikanya, 42 tahun.



Hari ini, bekas ahli akademik itu menarik perhatian ramai sebagai timbalan ketua parti pembangkang Move Forward, antara parti politik yang mula mengenalkan ramai calon muda.



Beliau juga merupakan ketua pasukan ekonomi termuda dalam kalangan parti politik utama Thailand.



Kemudian ada Cik Tipanan Sirichana, 39 tahun.



Calon parti prokerajaan United Thai Nation (UTN) yang cuba membawa semula penyandang perdana menteri, Encik Prayut Chan-o-cha, sebagai perdana menteri, Cik Tipanan terpaksa menangani beberapa soalan sukar daripada pengundi yang tidak menyukai bekas pemimpin rampasan kuasa itu.



"Tetapi saya telah melihat cara beliau bekerja dan rancangannya untuk memajukan Thailand.



"Jadi, saya percaya kepadanya dan pada dasar parti," kata Cik Tipanan, bekas peguam yang merupakan timbalan jurucakap kerajaan sementara, kepada The Straits Times.



Dua wanita itu adalah antara sebilangan calon muda yang semakin meningkat dalam lingkungan 30-an dan awal 40-an dalam landskap politik yang dipenuhi ahli politik lelaki dalam lingkungan 50-60an tahun.



Dengan perspektif dan pendirian berlainan, ahli politik berwajah baru ini menyuntik politik progresif dan memberi parti tradisionalis satu perubahan dengan jangkauan mereka dalam kalangan pengundi muda dan di media sosial.



Kemunculan calon lebih muda dan segar dalam beberapa tahun kebelakangan ini sebahagiannya disebabkan kemasukan parti Move Forward ke dalam landskap politik, kata saintis politik, Profesor Wanwichit Boonprong, sambil menyatakan langkah parti itu meletakkan calon muda telah mendorong parti lain untuk mengikut jejak sama.



"Saya fikir terdapat kemungkinan besar kita akan melihat semakin ramai ahli politik muda berbanding sebelum ini," katanya sambil menambah, beliau mula melihat trend itu sejak pilihan raya 2019.



Purata usia Ahli Parlimen (AP) Move Forward ialah 44 tahun, berbanding lebih 57 tahun dalam parti politik lain, kata badan pemikir Institut Penyelidikan Pembangunan Thailand dalam satu artikel pada 2023.



Manakala Kabinet Thailand, juga kebanyakannya lelaki, mempunyai purata usia 65 tahun.



Malah parti tradisional Thailand konservatif kini mempunyai lebih ramai calon muda.



Ketua strategi pilihan raya parti memerintah Palang Pracharath (PPRP) di Bangkok diketuai Encik Sakoltee Phattiyakul, 45 tahun, bekas timbalan gabenor ibu kota itu.



Dan di barisan depan rancangan parti Demokrat bagi Bangkok ialah Cik Watanya Bunnag, 38 tahun, yang mahu membantu parti itu merampas semula kerusi AP yang tewas dalam pilihan raya 2019.



Beliau berkata lebih ramai ahli politik lebih muda seperti dirinya memegang jawatan penting dalam parti, dan beliau percaya mereka didorong harapan untuk perubahan.



"Sebagai ibu kepada dua anak, saya mahu mencipta masa depan lebih baik buat keluarga saya.



"Dan jika saya boleh melakukannya, saya boleh mencipta masa depan lebih baik buat keluarga orang lain juga," kata Cik Watanya, bekas pengarah sebuah kumpulan media.



Beliau menyertai parti Demokrat, parti politik tertua di Thailand, selepas keluar dari PPRP, di mana beliau menjadi AP pada 2022.



Calon lebih muda menggunakan media sosial untuk mendapatkan sokongan bagi kempen mereka, dan calon pembangkang Pheu Thai, Cik Jiraporn Sindhuprai, 35 tahun, adalah satu contoh.



Cik Jiraporn, yang berusaha mempertahankan kerusinya di wilayah timur laut Roi Et dalam pilihan raya ini, mempunyai lebih 180,000 pengikut di Tiktok dan ribuan lagi di Twitter dan Instagram.



Beliau memasuki Parlimen pada 2019 dan menjadi terkenal di kalangan netizen muda, yang suka dengan sikap tenang dan kecerdasannya yang tajam apabila berdebat di Parlimen dengan AP veteran daripada kerajaan.



Sementara itu, sejurus menamatkan pengajian sarjana di Universiti Oxford pada 2017, Cik Tidarat Yingcharoen, 33 tahun, memutuskan mahu bertanding dalam pilihan raya 2019 di bawah panji Pheu Thai.



Tetapi pada 2021, beliau menyertai parti Sang Thai, diketuai ahli politik veteran Dr Sudarat Keyuraphan, yang meninggalkan Pheu Thai kerana memulakan parti baru.



"Sebilangan ahli politik lebih tua dan berpengalaman merasakan mereka telah mencapai banyak perkara. Oleh itu, mereka memandang rendah kepada anda dan tidak menganggap anda sama rata. Tetapi (Dr Sudarat) berbeza," katanya.




Pilihan Raya Thailand: Apa yang anda perlu tahu



PARLIMEN DAN PILIHAN RAYA



Parlimen Thailand terdiri daripada 250 senator yang dilantik di Dewan Tinggi, dan 500 Ahli Parlimen (AP) di Dewan Rendah, juga dikenali sebagai Dewan Rakyat.



Dewan Rendah terdiri daripada 400 AP kawasan undi dan 100 AP berdasarkan pilihan parti peringkat nasional.



Pada 14 Mei, pengundi akan memilih calon ke Dewan Rendah bagi penggal selama empat tahun.



SISTEM DUA UNDI



Setiap pengundi akan mendapat dua undi:



1. Undi untuk memilih AP kawasan undi. Terdapat 400 kerusi mewakili 400 kawasan undi.



Calon yang mendapat undi terbanyak bagi kawasan undi itu memenangi kerusi tersebut.



2. Undi untuk memilih parti pilihan di peringkat nasional.



Sebanyak 100 kerusi senarai parti diagihkan secara berkadar, berdasarkan peratusan bahagian undi yang diperolehi setiap parti dalam kategori itu.



MEMBENTUK KERAJAAN



Keputusan rasmi pilihan raya mesti diumumkan dalam tempoh 60 hari mulai 14 Mei.



Sekiranya tiada parti yang memenangi majoriti untuk membentuk kerajaan parti tunggal, parti yang berminat perlu membentuk gabungan dengan pihak lain untuk membentuk kerajaan campuran dengan sekurang-kurangnya 251 daripada 500 kerusi Dewan Rendah.



Pada pilihan raya 2019, Parti Pheu Thai memenangi kerusi terbanyak dengan 136 AP tetapi tidak mendapat sokongan mencukupi daripada Dewan Rendah untuk membentuk gabungan majoriti.



Parti Palang Pracharath yang mempunyai kaitan dengan tentera, yang memenangi 115 kerusi, kemudian mengumpulkan 139 lagi kerusi daripada 18 parti lain untuk membentuk kerajaan.



PARLIMEN PILIH PERDANA MENTERI



Sebelum pilihan raya, setiap parti boleh menamakan sehingga tiga calon perdana menteri. Individu ini tidak perlu menjadi AP yang dipilih.



Hanya calon daripada parti yang memenangi sekurang-kurangnya 25 kerusi akan dipertimbangkan.



AP yang dipilih dan senator yang dilantik daripada Dewan Tinggi akan melakukan undi parlimen secara bersama untuk memilih perdana menteri.



Untuk menang, calon memerlukan majoriti mudah sekurang-kurangnya 376 undi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >