Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

ISU PESTA DI KEDIAMAN RASMI PERDANA MENTERI BRITAIN SEMASA COVID-19

Pimpinan Boris Johnson dipertikai susuli pesta di rumah semasa sekatan

Jan 21, 2022 | 05:30 AM



LONDON: Perdana Menteri Britain, Encik Boris Johnson, kemungkinan menghadapi cabaran terhadap kepimpinan, menurut beberapa laporan media, selepas berlakunya kemarahan orang ramai terhadap dakwaan bahawa telah diadakan beberapa pesta di kediamannya semasa tempoh sekatan pergerakan Covid-19.



Selepas Encik Johnson menafikan tuduhan bekas penasihatnya bahawa beliau telah berbohong kepada Parlimen mengenai pesta itu, media Daily Telegraph dan ITV News, memetik sumber, melaporkan terdapat sejumlah surat mencukupi yang diperlukan daripada penggubal undang-undang daripada parti pemerintahnya sendiri yang meminta diadakan undi tidak percaya terhadap kepimpinannya .



Seramai 20 Anggota Parlimen (AP) Parti Konservatif yang memenangi kerusi mereka pada pilihan raya umum pada 2019 merancang menyerahkan surat undi tidak percaya terhadap Encik Johnson, lapor Telegraph.



Pejabat Encik Johnson tidak menjawab permintaan untuk memberi komen.



Hanya dua tahun lalu, Encik Johnson menjadi pemimpin kesayangan partinya selepas beliau membantu Konservatif memperolehi majoriti terbesar sejak mantan perdana menteri, Cik Margaret Thatcher, pada 1987, membolehkannya menunaikan janji untuk akhirnya mengeluarkan Britain daripada Kesatuan Eropah (EU).



Tetapi hubungan itu kian memburuk di bawah kesan siri pendedahan berterusan tentang tindakan Downing Street yang jelas melanggar peraturan sekatan pergerakan ketat berkaitan Covid-19.



Untuk memulakan cabaran kepimpinan, 54 daripada 360 AP Konservatif di Parlimen mesti menulis surat undi tidak percaya kepada pengerusi Jawatankuasa 1922 parti itu.



Namun surat itu adalah rahsia, dan hanya pengerusi tersebut adalah satu-satunya orang yang tahu berapa ramai AP yang telah menulis surat sedemikian.



Sementara itu, Encik Johnson dijadual berucap di Parlimen semalam selepas Kabinetnya dijangka meluluskan rancangan mahu menamatkan sekatan baru-baru ini yang dikenakan untuk menangani penularan Covid-19 di England.



Langkah 'Pelan B' itu diperkenalkan oleh kerajaan pada bulan lalu apabila varian Omicron menular dengan pantas ke seluruh Britain.



Mereka termasuk garis panduan untuk bekerja dari rumah jika boleh, memakai pelitup di ruang dalaman serta pasport vaksin bagi acara besar.



Penghapusan sekatan itu akan menggembirakan ramai dalam anggota partinya yang ingin kembali kepada kehidupan yang hampir serupa dengan kehidupan biasa, sedang Encik Johnson berusaha mencegah pemberontakan yang dicetuskan oleh dakwaan pihak beliau mengadakan pesta yang melanggar peraturan Covid-19.



Masalah politiknya meningkat minggu ini apabila Encik Dominic Cummings, seorang pemimpin yang mengusahakan Britain keluar dari EU dan bekas penasihat kanan yang meninggalkan kerajaan di bawah syarat kurang baik pada November 2020, berkata Encik Johnson tahu pesta minum yang diadakan di taman kediamannya melanggar sekatan Covid-19.



Encik Johnson telah memohon maaf kepada Parlimen minggu lalu, dengan mengatakan bahawa beliau mengandaikan pesta itu sebagai acara kerja dan hanya menghadirinya selama 25 minit untuk mengucapkan terima kasih kepada kakitangan.



Seorang penjawat awam kanan, Cik Sue Grey, kini sedang menyiasat beberapa dakwaan pelanggaran peraturan oleh Encik Johnson, pasukannya dan pegawainya di 10 Downing Street, atau bangunan kerajaan lain, antara Mei 2020 dengan April 2021, apabila sekatan Covid-19 mengehadkan bilangan orang yang boleh bertemu secara sosial.



Walaupun jika Encik Johnson berjaya memegang tampuk kuasa, kontroversi itu mungkin menyebabkan kerosakan berpanjangan kepada popularitinya.



Ekoran kontroversi tersebut, pembangkang Parti Buruh kini mendahului kadar populariti ke atas Konservatif. - Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >