PANDANGAN

Pindaan berkaitan kuasa syariah di M'sia: Huraian belum ketara

Baru-baru ini, Speaker Parlimen Malaysia, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, membenarkan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang, membentangkan satu pindaan bagi Rang Undang-Undang (RUU) 355, yang bersangkutan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Usul bagi pindaan itu dilakukan atas dasar usul persendirian dan bukan usul kerajaan.

Selalunya, apabila satu usul dibentangkan oleh kerajaan, ia akan diberi keutamaan untuk didengar, didebat, dan diundi, berbanding usul persendirian.

Pembentangan usul persendirian juga tertakluk pada budi bicara Speaker, sama ada ia dapat dibentangkan atau tidak.

Isu RUU 355 mendapat perhatian umum kerana ia mendapat liputan meluas akhbar tempatan di Malaysia. Ia juga hangat dibincangkan di pentas ceramah politik.

Pada Februari lalu, beribu-ribu penyokong RUU 355 berarak di Padang Merbok, Kuala Lumpur, menunjukkan kesepaduan mereka terhadap usaha PAS memperkasa bidang kuasa mahkamah syariah.

Perarakan itu dihadiri pemimpin PAS dan juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Jamil Khir Baharom.

Jelas bahawa isu RUU 355 adalah satu usaha yang selaras dengan undang-undang sedia ada.

Namun, cara ia dipolemikkan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Pindaan yang diusul Datuk Abdul Hadi itu, jika diluluskan, bermakna hukuman maksimum yang boleh dijalankan mahkamah syariah di Malaysia akan dinaikkan.

Malaysia mempunyai dua sistem kehakiman yang berjalan selari, iaitu mahkamah syariah yang hanya mendengar kes berkenaan agama Islam dan untuk seseorang yang beragama Islam, dan juga mahkamah sivil.

Buat masa ini, hukuman maksimum yang boleh dikenakan mahkamah syariah ialah tiga tahun penjara, denda RM5,000 (S$1,600), dan enam sebatan berlandaskan syariah.

Jika usulan Datuk Abdul Hadi itu diterima, hukuman maksimum itu dinaikkan kepada 30 tahun penjara, denda RM100,000, dan sebat 100 kali.

Isu RUU 355 mendapat respons berbelah bagi dalam parti pemerintah Barisan Nasional (BN).

Pada Perhimpunan Agong Umno Disember lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan kesediaan partinya mengambil alih usulan presiden PAS itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, juga menyatakan bahawa kerajaan BN akan membentangkan pemindaan RUU 355 sebagai satu usul kerajaan dan bukan sebagai usul persendirian.

Ini adalah manifestasi jelas bahawa Umno bersedia menaik taraf bidang kuasa mahkamah syariah atas dasar memperkasakan Islam di Malaysia.

Sebelum ini, sebilangan pemimpin bukan Islam dalam BN, seperti Persatuan Cina Malaysia (MCA), Kongres India Malaysia (MIC) dan Gerakan, juga tidak setuju akan usul RUU 355.

Ini adalah antara sebab Datuk Seri Najib, baru-baru ini, tidak membenarkan usul tersebut dibentangkan sebagai usul kerajaan.

Maka, pembentangan RUU 355 sebagai usul persendirian berlaku beberapa hari lalu, dengan Datuk Abdul Hadi mendapat kebenaran membentangkannya di parlimen, setelah mendapat kebenaran Speaker.

Namun, Speaker menunda perdebatan bagi usul tersebut pada sidang parlimen akan datang.

Tindakan Speaker menangguhkan perdebatan dikecam beberapa Ahli Parlimen pembangkang.

Jelas bahawa tiada jalan keluar mudah bagi parti Umno dalam isu RUU 355.

Jika undian dijalankan di parlimen tentang usul tersebut, ada kemungkinan usulan itu ditolak.

Ini kerana belum jelas apakah semua ahli parlimen beragama Islam di Malaysia akan menyokong usul tersebut.

Jika usul itu tewas di Parlimen, ia bakal menimbulkan persepsi buruk oleh segelintir masyarakat konservatif tentang keupayaan Umno memartabatkan Islam di Malaysia.

Sokongan terhadap usul Datuk Abdul Hadi itu telah merapatkan lagi saf antara Umno dan PAS, yang selama berdekad-dekad bermusuhan.

PAS sendiri telah menjauhkan diri daripada pakatan pembangkang, Pakatan Harapan (PH), yang kini dianggotai Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah), dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Usaha ini bakal rapuh jika pindaan RUU 355 gagal.

Sebaliknya, Umno harus berhati-hati apabila ia ingin menjalin hubungan lebih erat dengan PAS, kerana ini boleh merenggangkan hubungan dengan rakan-rakannya dalam BN.

Mereka mungkin kehilangan sokongan parti dari Sarawak dalam BN, yang menjadi tunggak kekuasaan BN di peringkat persekutuan.

Parti-parti tersebut masih berbelah bagi tentang RUU 355. Sarawak sebuah negeri yang mempunyai jumlah penduduk beragama Kristian, dan juga masyarakat orang Asli dan Bumiputera.

Jika Umno menyokong RUU 355 ia mungkin menjejas usaha merapatkan jurang antara masyarakat Islam dengan bukan Islam di Malaysia, yang terungkap dalam slogan 1Malaysia yang diperjuangkan Datuk Seri Najib.

Walaupun parti pembangkang masih berpecah, mereka sedang mengatur strategi rapi untuk bersatu di bawah kepimpinan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed.

Kini, masih belum ada isyarat jelas tentang trend pengundian rakyat Malaysia, mentelah sokongan masyarakat Melayu-Islam kepada Umno dan BN.

Yang jelas ialah sokongan Umno terhadap RUU 355 bakal lebih meminggirkan pengundi Cina dan India.

Persoalan-persoalan ini penting bagi Umno dalam mengorak langkah seterusnya bagi menyelesaikan polemik RUU 355.


*Penulis Zamil ISEAS-Institut Yusof Ishak. Beliau pakar politik dan strategik bagi rantau Asia tenggara, khususnya politik Malaysia, Indonesia dan Singapura.