KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia mematuhi Perintah Sekatan Pergerakan (PKP) penuh yang bermula semalam, dengan hanya dua orang sahaja dari sesebuah isi rumah dibenarkan keluar dari kediaman mereka, namun tidak melebihi jarak 10 kilometer atau akan diarah berpatah balik.
Keadaan jalan-jalan raya kelihatan tenang dan lengang dan operasi pemeriksaan yang dijalankan pegawai-pegawai peronda berjalan lancar.
Langkah lebih ketat yang berkuat kuasa sepanjang 14 hari sehingga 14 Jun ini adalah bagi melandaikan semula keluk penularan Covid19 yang kembali melonjak di negara itu sejak awal April lalu.
Tinjauan yang dikongsi orang ramai di media sosial menunjukkan kebanyakan tempat lengang dan sepi, termasuk di kawasan ibu kota Kuala Lumpur.
Malah, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mengumumkan langkah mengehadkan kapasiti penumpang serta frekuensi bagi semua perkhidmatan pengangkutan awam darat dan air sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0
Jumlah penumpang bagi semua jenis perkhidmatan pengangkutan awam darat dan laut dihadkan sehingga 50 peratus daripada kapasiti maksimum berkuat kuasa semalam.
Sepanjang tempoh sekatan itu, semua aktiviti sosial dilarang dan hanya sebahagian kecil sahaja sektor ekonomi dibenarkan beroperasi.
Bagi membantu rakyat yang terjejas dengan PKP penuh ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan pelaksanaan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) Tambahan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM40 bilion ($12.81 bilion) bagi membantu meredakan cabaran yang dihadapi ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Tan Sri Muhyiddin turut mengumumkan, semua Menteri dan Timbalan Menteri tidak akan mengambil gaji selama tiga bulan bermula Jun 2021.
Menurutnya, wang tersebut akan disumbangkan ke Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan Covid-19.
Tegasnya, tindakan itu sama seperti diamalkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 (PKP 1.0) yang dikuatkuasakan pada Mac tahun lepas.
Selain itu, penjawat awam juga akan menyumbang kepada dana khas melalui pemotongan elaun hiburan tetap dan elaun tetap perkhidmatan awam, pemerintah telah mengumumkan.
Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara Malaysia berkata bahawa sumbangan daripada 800,000 penjawat awam dari gred 29 ke atas selama tiga bulan akan berjumlah lebih daripada RM30 juta ($9.6 juta).
Pemotongan itu, bagaimanapun, dikecualikan bagi mereka yang bertugas di barisan hadapan dan dari kelas 1 hingga gred 28.
Dalam pada itu, media Malaysia melaporkan, program Pemerkasa Tambahan kali ini turut melibatkan suntikan langsung fiskal dari kerajaan sebanyak RM5 bilion ($1.60 bilion).
"Terdapat tiga matlamat utama bagi program tersebut iaitu mempertingkat kapasiti kesihatan awam, meneruskan agenda prihatin rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan," kata Tan Sri Muhyiddin dalam Perutusan Khas Bantuan PKP 3.0 kelmarin.
Selain kesemua daya usaha yang diumumkan dalam Pemerkasa Tambahan itu, terdapat program pakej rangsangan bernilai lebih daripada RM100 bilion yang masih dalam pelaksanaan.
Jelasnya, dari segi perbelanjaan langsung dari kerajaan, Kumpulan Wang Covid-19 telah diluluskan dengan siling RM65 bilion.
"Sebanyak RM38 bilion telah dibelanjakan pada tahun 2020 dan sehingga April 2021, RM10 bilion lagi telah disalurkan.
Baki RM17 bilion akan dibelanjakan pada tempoh yang terdekat," ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg