SYDNEY: Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, berjanji akan mengambil tindakan tegas terhadap ucapan kebencian susulan serangan ke atas majlis sambutan Yahudi di Pantai Bondi, Sydney, ketika mangsa termuda daripada 15 mangsa dikebumikan.
Lebah mainan kuning menghiasi keranda Matilda, 10 tahun, yang dikenang sebagai “sinar cahaya matahari” yang menyukai haiwan dan tarian.
Pasangan bapa dan anak – Sajid Akram, 50 tahun, dan Naveed, 24 tahun – telah melepaskan tembakan ketika ratusan orang meraikan sambutan Hanukkah di Pantai Bondi pada 14 Disember.
Serangan itu, yang mengejutkan negara dan menimbulkan kebimbangan mengenai peningkatan anti-Semitisme, diinspirasikan oleh ideologi ISIS, kata pihak berkuasa Australia.
Ada pihak yang marah kepada pemerintah kerana tidak melakukan secukupnya untuk memerangi peningkatan anti-Semitisme sejak bermulanya perang di Gaza.
Dalam reaksinya, Encik Albanese berkata pemerintah akan berusaha untuk memperkenalkan undang-undang yang memudahkan dakwaan ke atas mereka yang mempromosi ucapan kebencian dan keganasan.
Hukuman akan ditingkatkan, pembatalan atau penolakan visa akan dipermudahkan, dan rejim untuk menyasarkan organisasi yang pemimpinnya terlibat dalam ucapan kebencian akan dibangunkan, kata beliau.
“Rakyat Australia terkejut dan marah. Saya marah. Jelas sekali kita perlu melakukan lebih banyak lagi untuk memerangi perbuatan jahat ini,” tambah Encik Albanese dalam sidang akhbar bagi mengumumkan pembaharuan tersebut pada 18 Disember.
Pemerintah Encik Albanese telah menyatakan bahawa ia secara konsisten mengecam anti-Semitisme sejak dua tahun lalu.
Pemerintah telah meluluskan undang-undang untuk menjadikan ucapan kebencian sebagai kesalahan jenayah, dan pada Ogos lalu telah mengusir duta Iran selepas menuduh Teheran mengarahkan dua serangan pembakaran anti-Semitik di Sydney dan Melbourne.
Sementara itu, seorang lelaki Sydney berusia 19 tahun telah didakwa dan dihadapkan ke mahkamah pada 18 Disember selepas didakwa mengugut keganasan terhadap seorang Yahudi dalam penerbangan dari Bali ke Sydney pada 17 Disember.
“Polis akan mendakwa lelaki itu kerana telah membuat ugutan anti-Semitik dan isyarat tangan yang menunjukkan keganasan terhadap mangsa,” kata Polis Persekutuan Australia pada 18 Disember.
Penembak Sajid ditembak mati oleh polis di tempat kejadian, manakala Naveed pula didakwa dengan 59 kesalahan pada 17 Disember selepas terjaga daripada koma, termasuk tuduhan membunuh dan melakukan pengganasan.
Kes melibatkan Naveed telah ditangguhkan sehingga April 2026.
Pemerintah Australia telah menolak usulan agar mengadakan Suruhanjaya Diraja, satu siasatan peringkat tinggi dengan kuasa kehakiman, mengenai kejadian tembakan itu buat masa ini.
Pada 17 Disember, pemimpin New South Wales, tempat serangan itu berlaku, berkata Parlimen akan bersidang minggu depan untuk meluluskan pembaharuan segera mengenai undang-undang senjata api.
Polis sedang menyiasat rangkaian ISIS yang berpangkalan di Australia serta dakwaan kaitan kedua-dua lelaki bersenjata itu dengan militan di Filipina.
Majlis Keselamatan Negara Filipina berkata bahawa walaupun Sajid dan anaknya telah berada di negara itu selama sebulan pada November, namun mereka tidak terlibat dalam sebarang latihan ketenteraan.
Rangkaian berkaitan ISIS diketahui beroperasi di Filipina dan mempunyai sedikit pengaruh di selatan negara itu. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg