SYDNEY: Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, pada 19 Februari mengutuk serangan “yang patut dicela” ke atas dua wanita beragama Islam di sebuah pusat membeli-belah.
Beliau turut menolak kecaman ramai pihak bahawa pihak berkuasa Australia kurang memberi perhatian kepada usaha menangani Islamofobia berbanding anti-Semitisme (fahaman anti-Yahudi).
Masyarakat Islam negara itu, yang turut disertai pemain kriket, Encik Usman Khawaja, merujuk kejadian pada 13 Februari di Melbourne, sebagai contoh tindak balas tidak mencukupi oleh pemerintah terhadap ancaman ke atas rakyat Muslim.
Apabila ditanya oleh wartawan sama ada pemerintah akan memberikan tindak balas lebih pantas jika kejadian tersebut bersifat anti-Semitik, Encik Albanese menjawab serangan ke atas mana-mana individu disebabkan agama mereka “patut dicela”.
“Saya memandang serius semua serangan ke atas individu berdasarkan agama mereka, dan mereka (penyerang) sepatutnya dihadapkan ke muka pengadilan secara sepenuhnya,” jelas Encik Albanese.
Pada awal minggu ini, Encik Albanese menghadapi kritikan kerana tidak mengutuk serangan itu dengan lebih pantas, lapor AFP.
Para pemimpin Australia secara lantang telah mengutuk siri insiden anti-Semitik yang berlaku kebelakangan ini – seperti letupan bom api di sebuah saumaah di Melbourne, dan contengan grafiti anti-Semitik di kawasan kejiranan Yahudi.
Namun pada 17 Februari, Persekutuan Majlis Islam Australia (AFIC) berkata mereka bimbang dengan trend serangan terhadap rakyat Muslim.
Respons yang diberikan pemerintah “masih amat tidak memadai”, kata presiden persekutuan, Encik Rateb Jneid, dalam satu kenyataan.
“Jika dibandingkan dengan perhatian yang diberikan secara pantas dan ketara kepada kejadian kurang serius yang menjejas masyarakat lain, perbezaan dalam tindak balas ini bukan sahaja jelas, bahkan juga tidak boleh diterima,” jelas Encik Rateb.
Duta anti-Islamofobia negara itu, Encik Aftab Malik, pada 18 Februari, menggesa pemimpin Australia agar mengutuk serangan tersebut dan melabur dalam usaha memastikan rakyat Muslim di sana berasa selamat.
“Semua bentuk kebencian perlu dihentikan,” kata Encik Aftab kepada penyiar ABC Australia.
Encik Khawaja membuat hantaran di media sosial pada 18 Februari dengan mengatakan pemerintah “menyembunyikan” serangan terhadap masyarakat Islam.
Namun pada 19 Februari, beliau menyambut baik tindakan Encik Albanese dan pemimpin pembangkang negara itu yang akhirnya “bersuara” mengenai perkara tersebut.
Polis Victoria berkata pada 19 Februari, seorang suspek wanita akan dihadapkan di Mahkamah Majistret Melbourne berhubung serangan yang didakwa.
Dua wanita Muslim – seorang berusia 30 tahun dan seorang lagi berusia 26 tahun – telah cedera namun tidak mengancam nyawa akibat serangan tersebut. – AFP.
“
“Saya memandang serius semua serangan ke atas individu berdasarkan agama mereka, dan mereka (penyerang) sepatutnya dihadapkan ke muka pengadilan secara sepenuhnya.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg