Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

PERDANA MENTERI BRITAIN YANG BARU

PM baru Britain, Sunak, ikrar pulihkan ekonomi, dapat kepercayaan warga

Oct 26, 2022 | 05:30 AM



LONDON: Encik Rishi Sunak secara rasmi dilantik menjadi Perdana Menteri baru Britain selepas menemui Raja Charles III di Buckingham Palace semalam.



Dalam ucapannya yang pertama, beliau berkata Britain sedang menghadapi krisis ekonomi besar yang perlu diperbetulkan.



"Kepercayaan perlu diperolehi dan saya akan mendapatkan kepercayaan anda,'' katanya di hadapan hadirin di 10 Downing Street.



Beliau berikrar akan bekerja keras setiap hari untuk membuahkan hasil kepada rakyat negara itu.



"Kerajaan ini akan mempunyai integriti, profesionalisme dan akauntabiliti di setiap peringkat," katanya.



Encik Sunak menjadi perdana menteri berketurunan India pertama Britain selepas beliau memenangi persaingan mengetuai Parti Konservatif.



Beliau kini bertanggungjawab mengemudi Britain, yang sangat berpecah belah, mengharungi kemelesetan ekonomi yang telah menyebabkan berjuta-juta warga merana.



Beliau menggantikan Cik Liz Truss yang terpaksa meletak jawatan setelah beliau melancarkan program ekonomi yang mencetuskan kekacauan dalam pasaran kewangan.



Rishi Sunak cipta sejarah PM termuda Britain



Kelmarin, Presiden Amerika Syarikat Encik Joe Biden misalnya menyifatkan pencalonan Encik Sunak sebagai perdana menteri UK baru sebagai "pencapaian penting".



Encik Sunak dipilih sebagai ketua parti oleh ahli parlimen Konservatif kelmarin berikutan peletakan jawatan Liz Truss pada Khamis.



Dilihat sebagai salah seorang ahli politik terkaya di Westminster, Encik Sunak, 42 tahun, menjadi pemimpin termuda negara itu dalam zaman moden dan yang ketiga dalam masa kurang dua bulan - apabila beliau mengambil alih semasa salah satu era paling bergelora dalam sejarah politik Britain.



Beliau perdana menteri pertama dari bukan berkulit putih dan keturunan India.



Beliau menggantikan Cik Liz Truss, yang hanya bertahan 44 hari sebelum Cik Truss mengumumkan perletakan jawatannya. Encik Sunak perlu memulihkan kestabilan kepada negara yang terhuyung-hayang akibat kegawatan politik dan ekonomi selama bertahun-tahun dan berusaha memimpin parti yang telah retak mengikut garis ideologi.



Dalam ucapan di Parlimen, beliau memberitahu Ahli Parlimen kelmarin bahawa mereka menghadapi "krisis wujud" dan mesti "bersatu atau mati". Beliau memberitahu negara itu ia menghadapi "cabaran ekonomi yang mendalam".



"Kita kini memerlukan kestabilan dan perpaduan, dan saya akan menjadikan keutamaan saya membawa parti kita dan negara kita bersama," katanya.



Seorang jutawan dan bekas ketua dana lindung nilai itu dijangka membuat pemotongan perbelanjaan yang mendalam untuk cuba membina semula reputasi fiskal Britain, sedang negara itu terjerumus ke dalam salah satu kemelesetan paling teruk dalam beberapa dekad, diburukkan lagi oleh kos tenaga dan harga makanan yang melonjak.



Belanjawan mini baru-baru ini yang diumumkan Cik Truss, yang mencetuskan kejatuhannya, telah menaikkan kos pinjaman dan kadar gadai janji, dan menyebabkan pelabur melarikan diri. Bon kerajaan Britain meningkat secara agresif menjelang kemenangan Encik Sunak, dan melanjutkan keuntungannya kelmarin.



Encik Sunak, yang dilantik sebagai perdana menteri oleh Raja Charles semalam, juga perlu bekerja keras untuk menyatukan parti politik utama Britain itu selepas beberapa pihak menuduhnya berkhianat pada awal tahun ini apabila beliau meletak jawatan daripada kabinet mantan perdana menteri Encik Boris Johnson, mencetuskan kejatuhan pemimpin itu.



Britain sedang dibelenggu keadaan krisis berpanjangan sejak ia memilih pada 2016 untuk meninggalkan Kesatuan Eropah, sekali gus mencetuskan pertikaian di Westminster mengenai masa depan negara yang masih belum dapat diselesaikan sehingga hari ini.



Encik Johnson, yang memperjuangkan Brexit, mengetuai partinya mencapai kemenangan besar pada 2019, hanya disingkirkan daripada jawatan perdana menteri kurang tiga tahun kemudian selepas beberapa siri skandal. Penggantinya Cik Truss bertahan lebih enam minggu sebelum beliau juga dipaksa keluar.



Ahli sejarah dan biografi politik Encik Anthony Seldon memberitahu Reuters bahawa Encik Sunak mewarisi ekonomi dan politik yang paling sukar berbanding mana-mana pemimpin Britain sejak Perang Dunia Kedua, dan akan dikekang oleh kesilapan yang dibuat oleh pendahulunya Cik Truss.



"Tiada kelonggaran untuk beliau selain bersikap amat konservatif dan berhati-hati," katanya.



Beliau menambah bahawa Encik Sunak telah menunjukkan ketenangan apabila beliau menjadi menteri kewangan apabila wabak Covid-19 melanda Britain.



Di tengah-tengah kegawatan, tinjauan pendapat menunjukkan bahawa rakyat Britain mahukan pilihan raya. Parti Konservatif tidak perlu mengadakannya sehingga Januari 2025.



Cik Angela Rayner, timbalan ketua Parti Buruh dari pihak pembangkang, berkata Parti Konservatif telah "menabalkan Rishi Sunak sebagai perdana menteri tanpa beliau berkata sepatah pun tentang bagaimana beliau akan mengendalikan negara dan tanpa sesiapa yang mempunyai peluang untuk memilih."



Parti Buruh kini mendahului tinjauan pendapat lebih daripada 25 mata sejak belanjawan Cik Truss menyebabkan gelombang kejutan melalui pasaran kewangan.



Namun ahli ekonomi dan pelabur mengalu-alukan pelantikan Encik Sunak, tetapi mempersoalkan sama ada beliau boleh menangani kewangan negara sambil menyatukan puak yang bertelagah dalam parti itu.



Ramai ahli parlimen Konservatif kelihatan lega kerana parti itu sekurang-kurangnya telah memilih pemimpin baru dengan cepat.



Cik Penny Mordaunt, yang tewas kepada Sunak, berkata pemilihannya adalah "bersejarah dan menunjukkan, sekali lagi, kepelbagaian dan bakat parti kami," katanya. "Rishi mendapat sokongan penuh saya." - Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >