RAMALLAH: Perdana Menteri Palestin yang baru dilantik, Dr Mohammad Mustafa, mengumumkan pakej pembaharuan pada 23 April yang bertujuan mengukuhkan Penguasa Palestin (PA) di tengah-tengah tekanan global untuk menghidupkan semula dialog dengan Israel, lapor Reuters.
Dr Mustafa, yang dilantik oleh Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, awal tahun ini, berkata pemerintahnya akan memperkenalkan langkah untuk meningkatkan ketelusan dan memerangi rasuah, merombak sistem keadilan dan sektor keselamatan serta meningkatkan kecekapan sektor awam.
Selain itu, beliau berkata sistem kesihatan dan pendidikan akan ditambah baik, kewangan awam diperkukuh dan reformasi ekonomi dilaksanakan.
Dr Mustafa, 69 tahun, merupakan ahli ekonomi yang pernah bertugas di Bank Dunia dan mengetuai Dana Pelaburan Palestin.
Ikrar pembaharuan itu sebahagian besarnya menepati janji yang dibuat sebelum ini oleh pendahulunya, Encik Mohammed Shtayyeh, yang mengumumkan peletakan jawatannya pada Februari, ketika PA bertekad mendapatkan sokongan untuk peranan lebih luas di tengah-tengah perang Israel terhadap Hamas di Gaza.
Amerika Syarikat dan rakan antarabangsa lain telah mendesak PA untuk melaksanakan pembaharuan menyeluruh bagi memulihkan keyakinan di kalangan rakyat Palestin yang kecewa dengan badan yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Keamanan Oslo lebih 30 tahun lalu.
Desakan untuk melakukan pembaharuan telah meningkat apabila perhatian telah beralih kepada tadbir urus Gaza, sebaik sahaja Israel menamatkan kempen ketenteraannya terhadap Hamas berikutan serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober.
Walaupun mendapat tentangan daripada Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, Washington dan sekutunya berkata PA mesti terlibat dalam mentadbir wilayah itu sebaik sahaja tentera Israel berundur.
Amerika dan kebanyakan negara Barat berkata hanya penyelesaian dua negara dan pembentukan negara Palestin yang merdeka bersebelahan Israel dapat menawarkan peluang penyelesaian secara aman kepada konflik berdekad-dekad itu.
Bagaimanapun, Encik Abbas menjadi marah minggu lalu apabila Washington memveto permintaan Palestin kepada PBB supaya menimbangkan semula permohonan 2011 untuk menjadi anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Beliau berkata PA akan mempertimbangkan semula hubungan dua hala dengan Amerika berikutan keputusan di PBB itu.
Amerika berkata bahawa penubuhan sebuah negara Palestin yang berdaulat harus dilakukan melalui rundingan langsung antara pihak yang terlibat dan bukannya di PBB.
PA telah meminta PBB pada 2 April supaya menimbangkan semula permohonan 2011 untuk menjadi anggota penuh badan dunia itu.
PA telah bergelut dengan krisis kewangan yang menyebabkan kebanyakan kakitangan sektor awam hanya menerima sebahagian daripada gaji biasa mereka sejak dua tahun lalu.
Krisis itu bertambah buruk sejak permulaan perang di Gaza kerana Israel telah memotong sebahagian daripada hasil cukai yang dikutipnya bagi pihak PA, menuduh Pihak Berkuasa Palestin menyokong Hamas. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg