LONDON: Perdana Menteri Britain, Encik Boris Johnson (gambar), terpaksa berjuang untuk mempertahankan jawatan selepas pejabatnya menyatakan bahawa hari lahirnya pada tahun 2020 diraikan dengan satu perhimpunan di Downing Street.
Pendedahan itu sekali gus menambah kepada satu siri pendedahan sebelum ini mengenai beberapa parti dan perhimpunan terlarang di Downing Street yang dibuat sedang negara itu berada di bawah sekatan pergerakan dan perhimpunan yang ketat.
Satu jawatankuasa awam siasatan sedang dilakukan berkaitan siri perhimpunan tersebut.
Encik Johnson, yang pada 2019 memenangi majoriti Konservatif terbesar dalam tempoh lebih 30 tahun, berdepan dengan pelbagai tuduhan bahawa beliau dan kakitangannya berpesta semasa wabak itu, selain satu aduan tentang diskriminasi perkauman dalam partinya.
Dakwaan baru itu timbul hanya beberapa hari sebelum siasatan rasmi oleh pegawai Kabinet, Cik Sue Gray, terhadap pesta-pesta semasa sekatan itu bakal diterbitkan akhir minggu ini.
ITV News melaporkan sehingga 30 orang menghadiri acara ulang tahun pada Jun 2020 itu, semasa penutupan Covid-19 yang pertama, di 10 Downing Street - pejabat dan kediaman rasmi Encik Johnson di pusat London.
Perhimpunan sosial di ruang dalaman dilarang waktu itu.
Perdana menteri dipercayai dihadiahkan kek manakala isterinya mengetuai kakitangan dalam menyampaikan ucapan selamat hari lahir, lapor media itu.
Pejabat Encik Johnson mempertikaikan bahawa ia adalah satu pesta, sambil memberitahu ITV:
"Sekumpulan kakitangan yang bekerja di No. 10 pada hari itu berkumpul sebentar di Bilik Kabinet selepas mesyuarat untuk mengucapkan selamat hari lahir kepada perdana menteri."
"Beliau berada di sana kurang daripada 10 minit," katanya.
ITV mendakwa terdapat satu lagi perhimpunan di Downing Street pada petang sebelum hari lahirnya.
Pejabat Encik Johnson berkata perkara itu "sama sekali tidak benar".
Encik Johnson telah memberikan pelbagai penjelasan mengenai dakwaan berlakunya pesta sebelum ini: mula-mula beliau berkata tiada peraturan telah dilanggar, namun kemudian beliau memohon maaf kepada rakyat Britain berkaitan perhimpunan tersebut.
Pegawai polis yang mengawal Downing Street telah ditemu bual oleh Cik Gray dan telah memberi bukti yang "sangat menjejaskan", lapor akhbar Telegraph, memetik sumber yang tidak dikenali.
"Johnson telah kehilangan kuasa sepenuhnya," tulis Encik Nick Timothy, yang pernah berkhidmat sebagai ketua kakitangan Downing Street kepada ketua Parti Konservatif sebelum Encik Johnson, Cik Theresa May, di akhbar Telegraph.
Menggulingkan Encik Johnson akan menyebabkan Britain berada dalam ketidaktentuan selama berbulan-bulan sedang Barat menangani krisis Ukraine dan ekonomi kelima terbesar dunia itu juga sedang bergelut dengan gelombang inflasi yang tinggi. - Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg