LONDON: Perdana Menteri Britain, Encik Boris Johnson telah mengelak daripada bercampur tangan dalam perselisihan keluarga diraja Britain kelmarin.
Beliau memuji Ratu Elizabeth II tetapi telah mengelak soalan mengenai isu perkauman dan yang kurang sensitif di istana setelah satu temubual bersama Putera Harry dan isterinya Meghan Markle.
Bekas pelakon Hollywood itu, yang ibunya berkulit hitam dan ayahnya berkulit putih, menuduh keluarga diraja tersebut kerana memberinya tekanan sehingga beliau hampir mahu bunuh diri.
Dalam satu temu bual di televisyen, beliau berkata seseorang dalam keluarga diraja itu telah menimbulkan soalan tentang warna kulit anak lelakinya.
Perdana Menteri Britain jarang memberi komen mengenai hal diraja.
Namun wartawan berulang kali bertanya Encik Johnson mengenai hal itu kelmarin.
"Saya sentiasa sangat kagum dengan Ratu Elizabeth dan peranan menyatukan yang dimainkannya di negara kami dan merentas Commonwealth.
"Bagi yang lain, semua hal lain yang berkenaan keluarga diraja, sudah sekian lama kini saya tidak memberi komen mengenai hal keluarga diraja dan saya tidak berniat untuk berganjak daripada itu hari ini," katanya.
Putera Harry dan isterinya meninggalkan Britain tahun lalu dan telah melepaskan tanggungjawab diraja mereka untuk menjalani hidup baru di Los Angeles, dan mendapat tawaran penerbitan media.
Temubual bersama Oprah Winfrey disiarkan lewat hari Ahad di Amerika Syarikat dan disiarkan pada petang Isnin di Britain.
Meghan, 39 tahun, berkata anaknya, Archie, yang kini berusia setahun, telah dinafikan gelaran putera kerana terdapat keprihatinan dalam kalangan keluarga diraja tentang berapa gelap kulitnya apabila dia dilahirkan.
Beliau dan Putera Harry kedua-duanya enggan mengatakan siapa telah mengemukakan topik tersebut.
Winfrey kemudian memberitahu CBS bahawa Putera Harry berkata ia bukan Permaisuri Elizabeth mahupun suaminya Philip.
Istana Buckingham enggan memberi komen. - Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg