LONDON: Polis Britain telah mengenakan denda kepada Perdana Menteri, Encik Rishi Sunak, kerana tidak memakai tali pinggang keselamatan di tempat duduk belakang kereta semasa merakam satu klip media sosial.
Kejadian itu bak satu tamparan yang mampu memalukan beliau yang sedang cuba memulihkan nasib partinya.
Encik Sunak, yang meminta maaf atas apa yang disebutnya sebagai “kesilapan dalam tempoh ringkas”, dirakam di tempat duduk belakang keretanya semasa dalam perjalanan di utara England, tanpa memakai tali pinggang keselamatan.
Ini adalah saman kedua yang diterima Encik Sunak daripada polis.
Pada 2022, polis mendapati beliau telah melanggar peraturan sekatan Covid-19, bersama Perdana Menteri ketika itu, Encik Boris Johnson.
Denda itu merupakan cabaran baru kepada Encik Sunak, yang Parti Konservatifnya ketinggalan jauh di belakang pembangkang Parti Buruh dalam tinjauan pendapat, menjelang pilihan raya yang dijadual selewat-lewatnya pada Januari 2025.
“Perdana Menteri mengakui sepenuhnya kesilapan ini dan telah memohon maaf.
“Beliau sudah tentu akan menerima denda itu,” kata seorang jurucakap dari pejabat Downing Street Encik Sunak dalam satu kenyataan. – Reuters
Pilih perkataan yang betul
1/3
< Kuiz sebelumnya
< Kuiz sebelumnya
28
0
PM Britain Sunak didenda polis kerana gagal pakai tali pinggang keselamatan
Jan 21, 2023 | 01:57 PM