WASHINGTON: Panggilan pertama Presiden Amerika Syarikat Joe Biden kepada pemimpin asing adalah kepada Perdana Menteri Canada Justin Trudeau, kata jurucakap Rumah Putih Jen Psaki kelmarin.
Mereka dijangka akan membincangkan projek saluran paip Keystone XL yang berkontroversi.
"Panggilan pertamanya kepada pemimpin asing akan diadakan pada Jumaat dengan Perdana Menteri Trudeau," kata Cik Psaki kepada wartawan dalam taklimat Rumah Putih pertamanya.
Beliau berkata kedua-dua pemimpin itu akan membincangkan "hubungan penting dengan Canada" dan keputusan pentadbiran Encik Biden untuk menghentikan pembinaan lanjut saluran paip minyak Keystone XL antara Canada dan Amerika Syarikat.
Encik Trudeau telah berkata beliau "kecewa" dengan tindakan itu, yang diambil sejurus setelah Encik Biden mengambil alih.
"Walaupun kami menyambut baik komitmen presiden untuk memerangi perubahan iklim, kami kecewa tetapi akur dengan keputusan Presiden untuk memenuhi janji kempen pemilihannya berkenaan Keystone XL," kata Encik Trudeau dalam satu kenyataan.
"Saya berharap dapat bekerjasama dengan Presiden Biden untuk mengurangkan pencemaran, memerangi perubahan iklim, memerangi Covid-19, mewujudkan pekerjaan golongan pertengahan dan membangun dengan lebih baik dengan menyokong pemulihan ekonomi yang mampan untuk semua."
TC Energy, syarikat Canada yang bertanggungjawab membina saluran paip tersebut, kelmarin menangguhkan pembinaan saluran minyak itu yang sebahagiannya telah siap, dengan mengatakan bahawa ia "kecewa" dan langkah itu akan menyebabkan kehilangan ribuan pekerjaan.
"Keputusan itu akan membatalkan proses pengawalseliaan komprehensif yang telah berlangsung lebih sedekad dan berulang kali menyimpulkan bahawa saluran paip itu akan membawa tenaga yang sangat diperlukan secara bertanggungjawab terhadap alam sekitar sambil meningkatkan keselamatan tenaga Amerika Utara," katanya.
Pengawal selia Canada meluluskan projek itu pada 2010 tetapi ia disekat oleh Presiden Barack Obama pada 2015 disebabkan keprihatinan persekitaran - keputusan yang diubah penggantinya Encik Donald Trump pada 2017. - AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg