PM Jepun diselamatkan selepas letupan

TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Encik Fumio Kishida, berdepan detik cemas selepas diselamatkan daripada satu letupan kuat ketika sedang bersedia untuk berucap di sebuah pelabuhan di Wakayama, pada Sabtu. Beberapa laporan, termasuk oleh agensi berita Kyodo, berkata objek menyerupai suar dengan kepulan asap itu dilontarkan ke arah pemimpin berkenaan. Susulan kejadian itu, protokol kecemasan dilaksanakan menyebabkan Kishida terpaksa meninggalkan lokasi berkenaan. Berdasarkan laporan stesen NHK, insiden terbabit berlaku selepas Kishida selesai melawat kolam ikan dan bersedia untuk berucap pada majlis berkenaan, pada 11.30 pagi (waktu tempatan). Namun, bunyi kuat akibat letupan terdengar sejurus sebelum ketua kerajaan itu memulakan ucapannya. Susulan kejadian itu, NHK turut melaporkan seorang lelaki ditahan, manakala Encik Kishida berada dalam keadaan selamat. - Agensi berita.

