Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Muhyiddin orang pertama di Malaysia lengkapkan dos, disuntik kali kedua

Mar 18, 2021 | 5:30 AM
LENGKAP DOS: Tan Sri Muhyiddin mengambil suntikan pertama vaksin Covid-19 pada 24 Februari lalu. Beliau diberi suntikan kedua semalam. - Foto AFP
LENGKAP DOS: Tan Sri Muhyiddin mengambil suntikan pertama vaksin Covid-19 pada 24 Februari lalu. Beliau diberi suntikan kedua semalam. - Foto AFP -

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama di Malaysia yang melengkapkan dos suntikan vaksin COVID-19, semalam.

Perdana Menteri menerima suntikan dos kedua vaksin jenis Pfizer-BioNTech pada jam 3.16 petang di Klinik Kesihatan (KK) Putrajaya, Presint 18, Putrajaya, lapor Berita Harian Malaysia.

Suntikan kedua itu diterima Perdana Menteri genap 21 hari selepas menerima suntikan dos pertama di Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya, Presint 18, pada 24 Februari lalu, seperti yang disyaratkan bagi penggunaan vaksin jenis itu.

Perdana Menteri adalah individu pertama menerima vaksin Covid-19 di negara itu, sekali gus menandakan bermulanya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di seluruh negara.

Selain Perdana Menteri, Dr Noor Hisham turut menerima suntikan dos kedua vaksin Pfizer-BioNTech hari ini bersama empat lagi petugas Kementerian Kesihatan, yang menerima suntikan dos pertama pada 24 Februari lalu.

Mereka ialah Pegawai Perubatan KK Putrajaya Presint 9, Dr Tan Yee Ling; jururawat KK Putrajaya, Presint 9, Sheilla Mellissa Sikin; Penolong Pegawai Perubatan PKD Putrajaya, Khairul Asraf Mohd Yasin dan pemandu ambulans PKD Putrajaya, Clement Marai Francis.

Malaysia kini berada dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dilancarkan pada 24 Februari dan menyasarkan untuk memvaksin kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan, antara hujung Februari lalu hingga April depan.

Fasa 2 imunisasi yang membabitkan vaksin Pfizer-BioNTech dan Sinovac, dijadualkan bermula April hingga Ogos depan bagi kira-kira 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi.

Fasa 3 dijadual bermula pada Mei hingga Februari tahun depan dan disasarkan untuk sekitar 13.7 juta penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas, sama ada rakyat tempatan atau warga asing.

Individu yang mengambil kedua-dua suntikan vaksin COVID-19 akan diberikan sijil vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera, serta lencana imunisasi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata sijil dan lencana itu bukti individu berkenaan sudah menerima dos vaksin yang lengkap, sekiranya itu menjadi keperluan pada masa depan.

"Hari ini (semalam), pemberian dos kedua vaksin COVID-19 akan dimulakan. Kita akan keluarkan sijil vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera, dan lencana imunisasi COVID-19.

"Lencana dan sijil ini menandakan bahawa individu itu sudah menerima dos kedua dan melengkapkan vaksinasi dan boleh digunakan sebagai bukti. - BHM

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg