BANGKOK: Perdana Menteri Thailand yang digantung perkhidmatannya, Encik Prayuth Chan-o-cha, menegaskan beliau akan meneruskan tugas sebagai menteri pertahanan.
Kenyataan yang dikongsi dalam media sosial itu merupakan kenyataan pertama Encik Prayuth kepada umum sejak mahkamah mengarahkannya menghentikan tugasnya sebagai perdana menteri bagi membolehkan mahkamah menyemak had penggal perkhidmatannya.
Timbalan Perdana Menteri Thailand, Encik Prawit Wongsuwan, kini memangku jawatan perdana menteri negara ini.
"Saya akan meneruskan tugas dan tanggungjawab saya sebagai menteri pertahanan untuk rakyat dan negara setiap hari," kata Encik Prayuth menerusi akaun Twitter rasminya.
Mahkamah Perlembagaan pada Rabu lalu memutuskan untuk mendengar petisyen yang dibawa oleh parti pembangkang utama mengenai tahun-tahun Encik Prayuth berkhidmat sebagai ketua junta tentera selepas rampasan kuasa pada 2014.
Pembangkang menegaskan, tempoh keseluruhan Encik Prayuth memegang jawatan sebagai perdana menteri perlu dikira semula.
Perlembagaan menetapkan, had penggal lapan tahun untuk setiap perdana menteri berkhidmat dan tidak dapat dipastikan bila mahkamah akan menyampaikan keputusan mengenai semakan tersebut.
Kontroversi mengenai had penggal Encik Prayuth merupakan "cerita baru" dalam tempoh hampir dua dekad pergolakan politik di Thailand, yang menyaksikan berlakunya rampasan kuasa sebanyak dua kali dan siri protes ganas.
Sehingga kini, rakyat Thailand tidak bersetuju negara ini ditadbir tentera dan menzahirkan rasa tidak puas hati tersebut menerusi pelbagai protes demokrasi.
Sementara itu, jurucakap kerajaan, Encik Anucha Burapachaisri, memaklumkan Kabinet masih berfungsi seperti biasa walaupun Encik Prayuth digantung perkhidmatannya. - Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg