Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

PN beri saingan tambah kerusi DUN di PRN

Aug 13, 2023 | 06:26 PM



Gabungan pembangkang, Perikatan Nasional (PN) dilihat semakin memperluaskan pengaruh selepas berjaya memenangi 146 daripada 245 kerusi dipertandingkan di enam negeri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu.

Kumpulan politik yang dianggotai Parti Islam SeMalaysia (PAS), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) itu berjaya menambah sekurang-kurangnya 60 kerusi.

Walaupun dianggap tidak memberi cabaran sengit kepada gabungan Kerajaan Perpaduan, PN yang baru tiga tahun penubuhan membuktikan sebaliknya apabila berjaya meroboh beberapa kerusi tradisi pihak lawan pada PRN ini.

Di Selangor, PN mematahkan sasaran PH-BN untuk membentuk kerajaan dengan majoriti dua pertiga apabila menambah bilangan kerusi dimenangi kepada 22 daripada 56 kerusi, berbanding hanya lima kerusi DUN pada PRU lalu.

Gabungan pembangkang juga memberi saingan di Pulau Pinang apabila daripada hanya memegang tiga daripada 40 kerusi DUN pada PRU lalu, meningkat kepada 11 kerusi pada PRN ini.

Meskipun PH-BN berjaya membuktikan kerjasama antara mereka diterima baik rakyat di Negeri Sembilan dengan kemenangan besar di 31 daripada 36 kerusi DUN, usaha PN meraih undi di negeri itu membawa kepada kemenangan lima kerusi buat pembangkang.

Ia dianggap pencapaian baik buat PN yang tidak memegang sebarang kerusi DUN di Negeri Sembilan pada PRU lalu.

Dengan kemenangan bergaya menyapu bersih semua 32 kerusi DUN di Terengganu, PN-PAS bukan sahaja menambah 10 kerusi berbanding 22 kerusi pada PRU lalu, malah merobohkan kerusi tradisi kubu BN selama 60 tahun iaitu DUN Telemong.

Lebih memberi kesan, kerusi DUN Kijal disandang dua bekas Menteri Besar dari BN, iaitu Datuk Seri Ahmad Said selama sembilan penggal dan Datuk Seri Ahmad Razif di Seberang Takir juga gagal dipertahankan.

Di sebalik pelbagai isu kemudahan asas rakyat dan kebajikan tidak terbela yang dimainkan parti gabungan kerajaan sepanjang kempen PRN ini, rakyat Kelantan dilihat tidak terkesan malah kekal memberi sokongan kepada PN-PAS.

Ia membolehkan PN Kelantan merampas lapan kerusi DUN yang dimenangi BN pada PRU lalu, sekali gus merekod kemenangan di 43 kerusi pada PRN ini, berbanding 37 kerusi DUN pada PRU lalu.

Pengaruh Datuk Seri Ahmad Sanusi Md Noor di Kedah pula dilihat memberi kelebihan untuk PN mendominasi 33 daripada 36 kerusi DUN, meningkat berbanding hanya 20 kerusi DUN pada PRU lalu.

Gabungan pembangkang juga memenangi undi popular sebanyak 49 peratus, berbanding PH pada 36 peratus dan BN 13 peratus.

Melihatkan perkembangan baru politik tanah air ini, pengamat politik dari Universiti Sains Malaysia, berkata prestasi PN memang sudah dijangka berdasarkan gelombang hijau yang dibawa sejak PRU15, November tahun lalu.

Prof Dr P Sivamurugan berkata, keupayaan PN menambah bilangan kerusi di negeri terbabit pada PRN ini juga mungkin dibantu sentimen tertentu terhadap isu yang dibawa sebagai naratif kempen, selain faktor protes dan penolakan kelompok pengundi kepada parti tertentu.

“Bagaimanapun, dengan kedudukan status quo di keenam negeri, kita tidak boleh melakukan generalisasi bahawa rakyat menolak Kerajaan Perpaduan.

“Tidak ada kajian khusus yang boleh membenarkan kita menerima andaian itu kerana PH-BN diterima baik di tiga negeri yang bukan ditadbir pembangkang,” katanya kepada Berita Harian.

Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Prof Dr Azmi Hassan sependapat bahawa ia tidak menggambarkan penolakan rakyat terhadap Kerajaan PH-BN.

“PN-PAS memang dominan di Terengganu, Kelantan dan Kedah dan rakyat menyukai pentadbiran kerajaan negeri yang menongkah arus Putrajaya atau bertentangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita tengok pula di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, PH-BN memenangi kerajaan negeri dengan majoriti dan jumlah kerusi yang banyak. Jadi keputusannya bercampur-campur dan tidak boleh untuk katakan pengundi menolak gabungan kerajaan,” katanya.

Keputusan PRN pada Sabtu menyaksikan status quo di tiga negeri ditadbir PH-BN iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, manakala Kedah, Kelantan dan Terengganu kekal di tangan pembangkang.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >