KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menafikan dakwaan enggan bertemu Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, bagi membincangkan pembentukan kerajaan negeri.

Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dalam satu kenyataan, berkata dakwaan Datuk Saarani yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu disifatkan sebagai penipuan besar.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu sebaliknya memaklumkan sudah bertemu bagi membincangkan kemungkinan kerjasama PN dan Barisan Nasional (BN) bagi menubuhkan kerajaan Perak, bersama Datuk Saarani dan Setiausaha PN negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, di Kuala Lumpur, pada Ahad lalu.

Beliau menegaskan bahawa PN berlapang dada dan terbuka untuk bekerjasama, namun Datuk Saarani yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Perak itu bertegas supaya gabungan berkenaan menawarkan jawatan penting dalam kerajaan negeri, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

"Saya juga menyatakan kebimbangan dengan keadaan kerajaan negeri belum membentangkan Bajet 2023 dan kemelut politik mesti dirungkai segera, demi kepentingan rakyat.

"Beliau memohon untuk merujuk kepada kepemimpinan Umno sebelum membuat apa-apa persetujuan.

"Namun, beliau dan kepimpinan Umno menyelamatkan jawatan Menteri Besar disandangnya, sambil menipu perwakilan Perhimpunan Agung Umno lalu dengan slogan 'No DAP!'.

"Tanggungjawab sebagai Menteri Besar Perak amat besar dan seharusnya sumpah setia jawatan dibacakan dengan kalimah suci tidak disusuli penipuan kepada rakyat," kata bekas Menteri Belia dan Sukan itu.

Pilihan raya umum ke-15 (PRU15) Malaysia menyaksikan PN berjaya menawan 26 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, disusuli PH (24) dan BN (sembilan).