LVIV/KYIV (Ukraine): Amerika Syarikat sedang bekerjasama dengan Poland dan berunding dengan sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) mengenai kemungkinan membekalkan pesawat perang ke Ukraine untuk digunakan menentang tentera Russia, kata jurucakap Rumah Putih.

Idea itu ditolak beberapa anggota Eropah Timur perikatan itu minggu lalu, namun Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, membuat "rayuan terdesak" bagi pesawat buatan Russia ke negaranya dalam satu panggilan video bersama penggubal undang-undang Amerika kelmarin.

Beberapa daripadanya selepas itu berkata mereka menyokong pemindahan pesawat, yang boleh melibatkan pesawat buatan Russia di mana juruterbang Ukraine sudah dilatih.

Encik Zelensky bercakap dengan penggubal undang-undang itu sedang mereka mempertimbangkan permintaan oleh Presiden Joe Biden bagi tambahan AS$10 bilion ($13.6 bilion) dalam pendanaan untuk bertindak balas terhadap serangan Russia dan sementara pentadbiran itu menimbangkan larangan ke atas import minyak Russia.

Pentadbiran Biden sedang mempertimbang usaha mencari pengganti bagi mana-mana jet pejuang yang mungkin dihantar Poland daripada armadanya ke Ukraine, kata jurucakap itu.

Keputusan itu akan dibuat oleh Poland, kata jurucakap tersebut, sambil menambah bahawa terdapat isu logistik dan cabaran lain, termasuk cara memindahkan pesawat dari Poland ke Ukraine.

"Tiada rahsia bahawa permintaan tertinggi yang kami ada adalah untuk mendapatkan jet pejuang, pesawat serangan dan sistem pertahanan udara," kata Menteri Ehwal Luar Ukraine, Encik Dmytro Kuleba, kepada wartawan semasa pertemuan dengan Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken, di sempadan Poland-Ukraine kelmarin.

Perbincangan itu melibatkan kemungkinan menghantar jet pejuang F-16 kepada negara tersebut, termasuk Poland dan Slovakia, untuk menggantikan apa yang mereka hantar ke Ukraine.

Namun, proses itu akan memakan masa dan melibatkan pembidaan dan pemberian kontrak, dan juga membina pesawat khusus bagi negara itu dan menyediakan latihan.

Sementara itu, Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, berkata sekatan dikenakan Barat adalah seperti perang sedang tenteranya terus menyerang Ukraine kelmarin buat hari ke-10 dan IMF memberi amaran konflik itu akan mempunyai "kesan teruk" ke atas ekonomi global.

Moscow dan Kyiv saling menuduh satu sama lain tentang rancangan gagal bagi gencatan senjata sementara untuk membolehkan orang awam berpindah dari dua bandar yang dikepung tentera Russia.

Serangan Russia telah memaksa hampir 1.5 juta pelarian melarikan diri ke arah barat ke Kesatuan Eropah (EU). - Reuters, agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti