SYDNEY: Polis Australia telah mendakwa seorang penyerang bersenjata Pantai Bondi atas kesalahan pembunuhan dan pengganasan pada 17 Disember.
Dakwaan itu dibuat serentak dengan upacara pengebumian mangsa pertama daripada 15 korban, yang juga diadakan pada 17 Disember.
Sajid Akram dan anak lelakinya, Naveed, dituduh melepaskan tembakan di festival Yahudi di pantai luncur air terkenal itu pada petang 15 Disember, membunuh 15 orang dalam serangan yang diinspirasikan oleh kumpulan Negara Islam (ISIS).
Naveed didakwa dengan 15 pertuduhan membunuh, melakukan “perbuatan pengganasan” dan menanam bom dengan niat untuk mencederakan.
Dakwaan itu dibuat sejurus dia sedar dari koma di hospital.
“Polis akan mendakwa lelaki itu di mahkamah kerana terlibat dalam perbuatan yang menyebabkan kematian, kecederaan serius dan membahayakan nyawa untuk memajukan tujuan agama dan menimbulkan ketakutan dalam masyarakat,” kata polis negeri New South Wales dalam kenyataannya.
“Petunjuk awal menunjukkan serangan pengganas itu diilhamkan oleh ISIS, sebuah organisasi pengganas yang disenaraikan di Australia,” tambah polis.
Sajid terbunuh semasa berbalas tembakan dengan polis di tempat kejadian.
Naveed, 24 tahun, turut ditembak dan kini di hospital di bawah kawalan polis.
Pihak berkuasa berkata, motif serangan itu adalah untuk mencetuskan panik dalam kalangan komuniti Yahudi di negara itu.
Dalam pada itu, Encik Chris Minns, perdana menteri negeri New South Wales, tempat serangan itu berlaku, memberitahu sidang akhbar bahawa Parlimen akan bersidang pada 22 Disember untuk mendengar “pembaharuan segera”, termasuk mengehadkan bilangan senjata api yang boleh dimiliki oleh individu dan menjadikan jenis senapang patah tertentu lebih sukar untuk diakses.
Ini selain mempertimbangkan langkah menjadikan lebih sukar untuk mengadakan protes jalanan besar-besaran selepas peristiwa pengganasan bagi mengelakkan ketegangan selanjutnya.
Polis Australia kini menyiasat sama ada pasangan bapa dan anak itu telah bertemu dengan pelampau Islam semasa lawatan mereka ke Filipina yang dibuat hanya beberapa minggu sebelum kejadian berdarah di pantai paling terkenal di Australia itu.
Pada 17 Disember, Filipina menafikan ada bukti bahawa negara mereka telah digunakan untuk “latihan pengganas”.
Serangan itu turut membangkitkan semula dakwaan bahawa Australia masih leka dalam memerangi anti-Semitisme.
Persoalan kini berlegar sama ada pihak berkuasa seharusnya bertindak lebih awal untuk mencegah tragedi tersebut.
Naveed, seorang tukang batu yang menganggur, pernah mendapat perhatian agensi risikan Australia pada 2019 tetapi dia tidak dianggap sebagai ancaman waktu itu.
Suasana pilu menyelubungi upacara pengebumian pertama mangsa serangan itu – Rabbi Eli Schlanger, 41 tahun, yang dikenali sebagai ‘rabbi Rondi’.
Sekumpulan polis meronda di jalan-jalan luar sebuah rumah ibadat Yahudi di Bondi ketika orang ramai berkumpul untuk upacara tersebut.
Pengebumian kedua melibatkan Rabbi Yaakov Levitan.
Antara mangsa lain ialah seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, dua mangsa terselamat Holocaust, dan pasangan suami isteri yang ditembak mati ketika cuba menggagalkan serangan itu.
Rakaman kamera terbaru menunjukkan Encik Boris dan isterinya, Cik Sofia Gurman, cuba menggagalkan serangan.
Encik Boris, pesara mekanik berusia 69 tahun, dilihat menjatuhkan Sajid ke tanah sambil merampas senapangnya.
Namun, penyerang itu dikatakan berjaya mendapatkan senjata api lain lalu menembak mati pasangan tersebut. – AFP, Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg