Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis Batam tahan 25 suspek import pakaian terpakai secara haram

2 kontena penuh guni pakaian tanpa dokumen rasmi ditemui di gudang
Nov 11, 2025 | 5:07 PM
Batam, Pasar Tos
Pakaian dan barang terpakai laris dijual di Pasar Tos 3000 di Jodoh, Batam, di sebalik larangan yang dikuatkuasakan mulai 2022. - Foto fail

BATAM: Pihak berkuasa Pulau Batam di Kepulauan Riau telah menahan 25 orang kerana didakwa mengimport pakaian terpakai secara haram, ketika pemerintah meningkatkan tindakan terhadap perniagaan barangan terpakai yang sedang berkembang pesat.

Polis Barelang, yang menyelia Pulau Batam, berkata suspek telah ditangkap semasa serbuan pada 8 November di sebuah unit penyimpanan di Tanjung Uncang, di Batam.

Ketua Polis Barelang, Encik Zaenal Arifin, berkata:

“Kami menjalankan serbuan itu selepas menerima maklumat daripada orang ramai tentang kegiatan memunggah barang terpakai import tanpa dokumen rasmi.

“Apabila pegawai tiba, mereka mendapati pekerja sedang memindahkan bungkusan besar pakaian terpakai ke dalam gudang.”

Encik Zaenal yang berpangkat pesuruhjaya kanan polis, berkata pegawai menemui dua kontena yang dipenuhi dengan guni besar berisi pakaian terpakai, serta tiga lori yang disediakan untuk mengedarkan barang tersebut ke pasar tempatan.

Beliau menambah bahawa 25 suspek ditangkap adalah pemandu lori dan buruh yang bekerja di kemudahan tersebut.

Encik Zaenal menekankan operasi tersebut mencerminkan komitmen polis untuk menguatkuasakan undang-undang dan membendung pengedaran barangan import haram yang boleh mengganggu ekonomi tempatan.

“Polis Barelang akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang pelanggaran undang-undang, terutamanya yang boleh menyebabkan kerugian kewangan kepada negara,” katanya lagi.

Indonesia telah berulang kali berusaha membendung import dan penjualan pakaian terpakai, yang secara rasminya diharamkan pada 2022, dalam usaha untuk melindungi pengeluar tekstil domestik dan menangani risiko kesihatan awam.

Namun, di sebalik larangan tersebut, barangan terpakai masih popular dalam kalangan pengguna muda kerana harganya murah dan tertarik dengan sekitaran kedai pakaian terpakai itu.

Perdagangan barangan tersebut juga terus berkembang maju di media sosial dan pasaran dalam talian.

Memandangkan permintaan meningkat, pakaian terpakai terus memasuki negara ini melalui saluran haram, didorong pengawasan dan penguatkuasaan undang-undang yang lemah.

Menurut Pangkalan Data Statistik Perdagangan Komoditi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Indonesia mengimport lebih 12 tan pakaian terpakai pada 2023, menjana pendapatan hampir AS$30 juta ($39 juta).

Pakaian tersebut dibawa masuk daripada Britain, Amerika Syarikat, Malaysia, Korea Selatan dan Jepun.

Laporan berasingan daripada Statistik Indonesia menunjukkan bahawa pada 2024 sahaja, negara itu mengimport lebih 3,800 tan pakaian terpakai.

Batam telah lama menjadi pintu masuk untuk barangan terpakai yang diimport secara haram dari negara jiran, termasuk Singapura, yang terletak hanya 20 kilometer jauhnya.

Selain pakaian terpakai, peniaga juga menyeludup kasut terpakai, beg pakaian dan peralatan dapur dari Singapura.

Pakaian import, sesetengahnya berjenama, sering dijual di pasar terpakai Batam dengan harga serendah 10,000 rupiah ($0.80) sehelai, dengan banyak penghantaran kemudiannya diangkut dengan bot kayu ke tanah besar Sumatera dan Jawa untuk dijual semula.

Baru-baru ini, Menteri Kewangan Indonesia, Encik Purbaya Yudhi Sadewa, berikrar untuk mengetatkan import haram pakaian terpakai dan memberi amaran tentang potensi denda terhadap peniaga barangan terpakai, serta menyenaraihitamkan individu dan syarikat yang terlibat dalam penyeludupan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg