Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis Filipina tembak mati tiga banduan, termasuk militan Abu Sayyaf

Oct 9, 2022 | 2:40 PM
Gambar fail pada 30 September menunjukkan bekas senator Filipina dan pejuang hak asasi manusia, Leila de Lima menghadiri perbicaraannya di Mahkamah Perbicaraan Muntinlupa di Metro Manila. - Foto AFP
Gambar fail pada 30 September menunjukkan bekas senator Filipina dan pejuang hak asasi manusia, Leila de Lima menghadiri perbicaraannya di Mahkamah Perbicaraan Muntinlupa di Metro Manila. - Foto AFP -

MANILA: Polis Filipina menembak mati tiga banduan, termasuk seorang militan Abu Sayyaf, selepas mereka menikam seorang pegawai penjara dan menahan bekas senator pembangkang dalam percubaan untuk melarikan diri dari ibu pejabat polis di ibu negara pada Ahad (9 Oktober). Ketua Polis Negara, Jeneral Rodolfo Azurin Jr, berkata bekas Senator Leila de Lima, bagaimanapun tidak mengalami kecederaan dan sudah dibawa ke hospital untuk rawatan selepas kejadian cubaan melarikan diri dan menahan tebusan di penjara dengan kawalan keselamatan maksimum di Metropolitan Manila. Seorang daripada tiga banduan itu menikam pegawai polis yang sedang menghantar sarapan pagi kepada banduan pada waktu pagi. Polis berkata, pegawai polis yang ditempatkan di menara sentri sudah melepaskan tembakan amaran dan kemudiannya menembak mati dua banduan, termasuk komander Abu Sayyaf, Idang Susukan, apabila mereka enggan mengikut arahan. Azurin berkata, banduan ketiga berlari ke sel de Lima dan menahan tebusan, namun ditembak mati oleh komando polis. "Beliau kini selamat dan kami dapat menyelesaikan dengan segera kejadian di dalam pusat tahanan," kata Azurin kepada pihak media. De Lima ditahan sejak 2017 dan menghadapi perbicaraan atas tuduhan dadah yang didakwanya sengaja diada-adakan oleh bekas Presiden, Rodrigo Duterte dan pegawainya. Ia sebagai usaha untuk menutup kritikannya terhadap tindakan keras kerajaan terhadap kegiatan dadah yang menyebabkan ribuan suspek mati sehingga mencetuskan siasatan Mahkamah Jenayah Antarabangsa sebagai kemungkinan jenayah terhadap kemanusiaan. Duterte bagaimanapun bertegas terhadap kesalahan de Lima dan meletak jawatan pada 30 Jun sebelum digantikan oleh Ferdinand Marcos Jr yang juga anak kepada bekas diktator yang digulingkan. - Agensi Berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg