Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis India berkas 6 lelaki dalam kes rogol dua remaja, mayat digantung di pohon

Sep 17, 2022 | 5:30 AM
PROTES: Sekumpulan warga India mengadakan tunjuk perasaan bagi mangsa rogol dan menuntut keadilan. - Foto AFP
PROTES: Sekumpulan warga India mengadakan tunjuk perasaan bagi mangsa rogol dan menuntut keadilan. - Foto AFP -

LUCKNOW (India): Polis India telah menangkap enam lelaki kelmarin, didakwa merogol secara berkumpulan dan membunuh dua remaja perempuan bersaudara.

Mayat kedua-dua remaja itu kemudian ditemui tergantung pada sebuah pohon di luar kampung mereka, mencetuskan bantahan meluas.

Remaja bersaudara itu berusia 15 dan 17 tahun dari masyarakat Dalit, yang dianggap bermartabat paling rendah dalam sistem kasta Hindu.

Kaum ini sering menjadi sasaran keganasan seks, di negara yang mencatatkan kadar jenayah terhadap wanita paling tinggi.

Ketua polis tempatan, Encik Sanjiv Suman, berkata lelaki itu telah mengajak remaja tersebut pada Rabu lalu untuk ke sebuah kawasan lapang dan melakukan kekerasan seksual, kemudian "membunuh dengan mencerut leher remaja itu menggunakan selendang mereka."

Sekumpulan penduduk termasuk keluarga remaja tersebut melakukan tunjuk perasaan di jalan raya dekat kampung mereka di wilayah utara Uttar Pradesh, menuntut supaya hukuman setimpal dikenakan keatas pelaku-pelakunya.

Salah seorang yang disyaki, jiran remaja itu, ditangkap ekoran pergaduhan dengan anggota polis. Dia telah ditembak di kakinya.

Tertuduh itu adalah dari kaum-kaum Hindu dan Islam.

Laporan autopsi mengesahkan adanya kekerasan seksual dan sesak nafas sebagai punca kematian, kata Encik Suman.

Hampir 32,000 kes rogol telah dilaporkan di India pada 2021, menurut perangkaan pemerintah, tetapi banyak lagi kes yang dipercayai tidak dilaporkan.

Tahun lalu, pihak berkuasa Uttar Pradesh cepat melakukan pembakaran mayat sebelum autopsi dilakukan bagi kes-kes rogol dan pembunuhan melibatkan wanita kaum Dalit oleh pelaku dari kaum atasan Hindu, mencetuskan bantahan meluas. - AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg